WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DUA MAUT, EMPAT CEDERA DALAM KEMALANGAN TIGA KENDERAAN DI LEBUHRAYA SENAI-DESARU

27/12/2025 09:52 AM

JOHOR BAHRU, 27 Dis (Bernama) -- Dua maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 45.6 Lebuhraya Senai-Desaru pada awal pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang PBK I Nazarudin Yusof berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.37 pagi sebelum sebuah jentera bersama dengan lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi pada 5.58 pagi, didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah Proton Saga, sebuah Proton Wira dan sebuah Perodua Myvi.

“Dua mangsa lelaki yang tersepit berusia 21 dan 19 tahun, masing-masing menaiki Proton Saga dan Proton Wira, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan dua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas kemalangan jalan raya (RTA) sebelum semua mangsa diserahkan kepada pihak polis dan KKM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dalam kejadian itu juga seorang remaja perempuan berusia 14 tahun didapati tidak sedarkan diri, dan empat dewasa mengalami kecederaan.

Nazarudin berkata operasi dikawal sepenuhnya pada 7 pagi dan ditamatkan kira-kira pukul 7.30 pagi, manakala siasatan lanjut berhubung punca kemalangan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan