WILAYAH - SELATAN > BERITA

NAHAS TIGA KERETA: GERAK HATI IBU APABILA GPS ANAK BERHENTI JADI KENYATAAN

27/12/2025 08:06 PM

JOHOR BAHRU, 27 Dis (Bernama) -- Naluri seorang ibu apabila sistem penentu kedudukan global (GPS) anaknya berhenti berfungsi ternyata benar apabila menjadi petanda awal tragedi melibatkan Allahyarham Ammar Azwar Asri, 21, yang maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 45.6 Lebuhraya Senai-Desaru, awal pagi tadi.

Bapa saudara mangsa, Suhaimi Abu Naim, 58, berkata adiknya, Zeilawani berasa tidak sedap hati apabila pergerakan GPS telefon bimbit Ammar Azwar tidak berfungsi sejak 5.17 pagi sebelum membuat beberapa panggilan telefon tetapi tidak berjaya.

“Si ibu cuba berfikiran positif mengandaikan bateri telefon anaknya kehabisan kuasa. Namun perasaan resah itu semakin kuat sehingga beliau bertindak menyemak lokasi terakhir melalui aplikasi Google sebelum menghubungi adik kami yang bertugas sebagai polis bantuan untuk memeriksa kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di lokasi terakhir GPS itu berhenti, barulah dimaklumkan telah berlaku satu kemalangan jalan raya dan anak saudara saya terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini hari ini.

Menurut pesara tentera itu, Ammar yang memandu kereta Proton Saga difahamkan dalam perjalanan pulang ke kampung untuk bercuti dan menghadiri beberapa majlis keluarga termasuk pertunangan sepupunya dan majlis doa selamat.

Suhaimi berkata arwah bagaimanapun pada awalnya agak keberatan untuk bergerak pulang pada awal pagi kejadian dan ada menyuarakan hasrat untuk berehat terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan.

Menggambarkan peribadi arwah, beliau berkata Ammar Azwar merupakan seorang yang ceria dan disenangi ramai.

“Dia penggerak gelak ketawa dalam keluarga. Kehilangannya sangat mengejutkan dan sukar diterima.

“Saya difahamkan arwah baru sahaja bekerja sebagai juruteknik di Rapid Pengerang dan kali terakhir kami bertemu pada minggu lepas ketika menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga,” katanya yang turut memaklumkan Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Parit Siba, Batu Pahat malam ini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 45.6 Lebuhraya Senai-Desaru pagi tadi dipercayai akibat sebuah daripada kenderaan terbabit memasuki laluan bertentangan sehingga berlaku perlanggaran yang meragut dua nyawa.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian membabitkan kereta Proton Wira, Proton Saga dan Perodua Myvi itu kira-kira 5.35 pagi.

Mohd Sohaimi ketika dihubungi berkata selain Ammar Azwar, mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai pemandu Proton Wira, Yen Jian Yao, 19, yang berasal dari Kangkar Pulai manakala tiga penumpang kereta itu dilaporkan cedera parah, iaitu Angel Loo An Qi, 15, Wong Teck Ong, 17, serta seorang lagi yang belum dikenal pasti.

Dua mangsa yang menaiki kereta Perodua Myvi turut cedera, iaitu Nur Nalea Nazlin Mahmud, 23, seorang jurutera di Rapid Pengerang Oil & Gas Project, dan Mohamad Adam Satiman, 25, seorang juruteknik mekanikal pemasangan yang bertugas di tempat sama.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan