WILAYAH - TIMUR > BERITA

PEKAN "KOBOI" RANTAU PANJANG KEMBALI JADI TUMPUAN MUSIM CUTI SEKOLAH

28/12/2025 04:32 PM

PASIR MAS, 28 Dis (Bernama) -- Rata-rata peniaga di Pekan Rantau Panjang di sini menarik nafas lega apabila kawasan zon bebas cukai itu kembali menjadi tumpuan sempena cuti persekolahan, sekali gus menghidupkan semula “pekan koboi” itu.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati, terdapat peningkatan ketara jumlah pengunjung di kawasan berkenaan bukan sahaja dimeriahkan oleh penduduk tempatan, bahkan kehadiran pengunjung dari Pulau Pinang, Terengganu dan Pahang.

Malah, deretan kedai serta gerai makanan juga turut dipenuhi orang ramai, yang mengambil peluang membeli dan menikmati suasana yang terdapat di pekan tersebut bersama keluarga.

Peniaga pakaian Farida Hassan, 36, berkata keadaan itu memberi kelegaan kepada dia serta peniaga setempat, kerana jika bukan musim cuti yang panjang seperti perayaan atau persekolahan mereka akan terkesan berikutan kekurangan pengunjung.

“Kalau bukan cuti sekolah atau perayaan, nak dapat sekitar RM200 pun sangat sukar dan seakan mustahil. Namun, sejak bermulanya cuti sekolah pada minggu lepas saya mampu meraih hampir RM1,000 sehari.

“Jadi, untuk menampung kekurangan hasil jualan sepanjang ketiadaan pengunjung sebelum ini, saya melakukan jualan secara dalam talian sebagai alternatif lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Bazar Puteri, Rantau Panjang di sini hari ini.

Peniaga pakaian Mohd Shakirim Hafizi Mohamad Shamsuddin, 28, pula berkata musim cuti persekolahan merupakan antara tempoh paling dinanti-nantikannya, kerana mampu meningkatkan pendapatan harian.

“Pada musim cuti sekolah, jualan meningkat dengan ketara berbanding hari biasa, saya mampu meraih sekitar RM600 sehari berbanding hari biasa yang tidak menentu.

“Saya harap situasi seperti ini dapat dikekalkan walaupun bukan pada musim cuti panjang. Barangan yang ditawarkan di pekan ini kepada pengunjung jauh lebih rendah berbanding di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung Shazwani Mat Ali, 41, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkata membeli belah di zon bebas cukai ini seakan menjadi rutin tahunan bagi dia sekeluarga, setiap kali pulang ke kampung di Dungun, Terengganu.

“Boleh dikatakan setiap hujung tahun, keluarga kami akan singgah di sini sebelum pulang ke Bukit Mertajam untuk membeli keperluan anak-anak termasuk baju, kelengkapan rumah dan makanan memandangkan harga yang ditawarkan di sini lebih murah berbanding di tempat lain," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan