WILAYAH - TIMUR > BERITA

72 PREMIS MAKANAN DI KELANTAN TIDAK CAPAI TAHAP KEBERSIHAN TAHUN INI - JKNK

28/12/2025 05:35 PM

KOTA BHARU, 28 Dis (Bernama) -- Sebanyak 72 premis makanan di negeri ini didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan dan telah diarahkan ditutup selama 14 hari di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983, pada tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata daripada jumlah itu, jajahan Machang merekodkan jumlah tertinggi itu 13 premis, diikuti masing-masing sembilan premis di Bachok dan Kota Bharu.

Beliau berkata tindakan pemilik premis makanan tidak mematuhi perintah penutupan merupakan satu kesalahan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"Operasi itu diadakan bagi memastikan premis makanan yang beroperasi mematuhi peraturan yang ditetapkan, sekali gus dapat mencegah penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, tifoid, kolera dan sebagainya.

"Keseluruhan operasi ini melibatkan pemeriksaan 6,957 premis makan, gerai, restoran, kilang serta bazar Ramadan dan daripada jumlah itu 4,840 premis atau 70 peratus mendapat gred A, manakala 26 peratus gred B dan empat peratus gred C," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Azman berkata bagaimanapuna, status kebersihan tersebut tidak menggambarkan situasi sebenar premis di Kelantan kerana jumlah yang diperiksa hanya merangkumi 60 peratus daripada keseluruhan premis. 

"Sebanyak 2,813 notis dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dengan nilai RM519,950 dan sebanyak 79 notis dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985 bernilai RM46,600.

"JKNK ingin menegaskan menjadi tanggungjawab pemilik dan pengendali premis makanan untuk memastikan premis mereka bersih pada setiap masa," katanya.

Beliau berkata pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen penting kebersihan telah diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan