KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Siasatan awal berhubung kes letupan dipercayai menggunakan peranti letupan buatan sendiri (IED) di kawasan parkir dekat Desa Palma, Nilai minggu lepas setakat ini tidak menunjukkan sebarang unsur ekstremisme.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata siasatan mendapati kes itu berkemungkinan kejadian terpencil dan tidak berkait dengan mana-mana rangkaian jenayah atau kumpulan terancang.
“Kes ini berkemungkinan kejadian terpencil... bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan secara menyeluruh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berkata bahan dirampas mempunyai unsur letupan, dan siasatan kini tertumpu kepada tujuan ia disimpan, sasaran yang mungkin terlibat serta kemungkinan pembabitan pihak lain.
“Latar belakang suspek masih disiasat, dan usaha merakam percakapan sedang diambil namun proses itu bergantung kepada keadaan kesihatan suspek yang masih menerima rawatan di hospital.
“Suspek masih ditahan di hospital, dan kita menunggu laporan perubatan bagi menentukan keupayaannya untuk memberi keterangan,” katanya sambil menambah suspek kini direman hingga 3 Jan depan bagi membantu siasatan, dan menegaskan bahawa polis memerlukan ruang serta masa untuk melengkapkan siasatan kerana sebarang kenyataan awal mungkin boleh menjejaskan siasatan.
Sebelum ini, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan bahawa lelaki berusia 62 tahun itu ditahan di Batang Benar, Nilai dalam keadaan lemah dan mengalami kecederaan melecur selepas dipercayai bersembunyi di kawasan hutan sejak kejadian letupan berkenaan.
Beliau berkata suspek dijumpai hasil maklumat orang awam yang memasuki kawasan itu sebelum menghubungi polis sekali gus membawa kepada penahanan lelaki terbabit bersama sebuah motosikal dan beberapa IED.
Suspek menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan keadaan kesihatannya belum mengizinkan pihak polis merakam percakapan setakat ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958 serta Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Insiden pada awal pagi 22 Dis lepas itu menyaksikan IED terbabit meletup di dalam sebuah kenderaan ketika suspek dipercayai mengalihkan peranti berkenaan sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial