WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEROLEHAN PROJEK TENTERA DARAT: SPRM SITA ENAM AKAUN BANK, GELEDAH BEBERAPA SYARIKAT

29/12/2025 05:44 PM

PUTRAJAYA, 29 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan Tentera Darat dan ahli keluarganya bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan perolehan projek Tentera Darat Malaysia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, ketika mengesahkan perkara itu, berkata satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung kes berkenaan. 

“Hari ini, pegawai SPRM telah menjalankan penggeledahan di beberapa syarikat yang dipercayai terbabit bagi mendapatkan dokumen dan bahan bukti berkaitan... enam akaun bank yang dipegang oleh suspek dan ahli keluarganya telah disita dalam siasatan ini,” katanya. 

Sementara itu, sumber memaklumkan siasatan SPRM kini memfokus kepada aliran wang disyaki masuk ke akaun milik seorang pegawai kanan Tentera Darat, yang kini disiasat sebagai suspek dalam kes rasuah tersebut.

Beliau berkata SPRM telah menggeledah pejabat Tentera Darat di Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan kediaman rasmi suspek dari 5 petang hingga 12 tengah malam pada 27 Dis lepas.

“Penggeledahan tidak menghasilkan sebarang sitaan wang tunai namun SPRM telah menyita beberapa barangan mewah bernilai tinggi termasuk jam tangan dan beg tangan mewah yang dipercayai berkait dengan siasatan,” katanya.

Sumber turut memaklumkan bahawa suspek sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM semalam namun beliau telah dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi.

“Setakat ini, suspek masih menerima rawatan dan belum dapat dirakam keterangan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa siasatan tetap diteruskan dengan memanggil saksi utama membabitkan kontraktor yang dipercayai memperoleh projek berkaitan Tentera Darat.

"Setakat ini, SPRM telah merakam keterangan lima pemilik syarikat dan jumlah keseluruhan saksi yang telah dipanggil bagi membantu siasatan adalah 10 orang,” katanya.

Sumber turut mendedahkan bahawa SPRM sedang menyiasat kira-kira 40 syarikat yang disyaki terlibat dalam pemberian wang rasuah, dan siasatan dijalankan secara berperingkat.

SPRM dijangka terus memperluas siasatan termasuk aspek aliran kewangan, perolehan projek dan kaitan individu serta syarikat yang terlibat selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta SPRM 2009. 

Selasa lepas, pegawai SPRM telah hadir ke MINDEF, dan tumpuan terarah kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan