KUALA TERENGGANU, 30 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki direman empat hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan berhubung kes cubaan membeli barangan kemas bernilai RM30,000 dengan menggunakan wang palsu di sebuah kedai emas di Chabang Tiga, di sini baru-baru ini.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak membenarkan pemohonan reman tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan iaitu menggunakan wang palsu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor ketika dihubungi berkata lelaki itu ditahan pada Khamis lepas ketika cuba melarikan seutas rantai emas di sebuah kedai emas di Paka dekat Dungun.
Azli berkata, dalam kejadian pada 18 Dis lalu, suspek datang ke sebuah kedai emas di Chabang Tiga dan meminta jurujual menunjukkan beberapa gelang emas, lalu mengambil gambar dengan alasan mahu ditunjukkan kepada isteri sebelum menyatakan hasrat hendak membelinya.
Namun, jurujual berasa curiga apabila suspek menyerahkan sejumlah wang yang berwarna putih pada bahagian tepi, lalu berlaku insiden tarik-menarik wang antara mereka.
Suspek yang menyedari taktiknya terbongkar kemudian melarikan diri menaiki sebuah kereta Perodua Axia biru gelap menggunakan nombor pendaftaran palsu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial