WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BEKAS PM BANGLADESH KHALEDA ZIA MENINGGAL DUNIA PADA USIA 80 TAHUN

30/12/2025 06:12 PM

WASHINGTON, 30 Dis (Bernama-Anadolu) -- Bekas Perdana Menteri Bangladesh Khaleda Zia, meninggal dunia pada usia 80 tahun selepas sekian lama menghidap pelbagai penyakit, menurut pengumuman Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) pada Selasa.

Zia, yang merupakan perdana menteri wanita pertama negara itu dan isteri kepada bekas Presiden Bangladesh Ziaur Rahman, dilaporkan mengalami beberapa komplikasi kesihatan termasuk penyakit jantung, diabetes, artritis, sirosis hati dan masalah buah pinggang, menurut Anadolu Ajansi (AA).

Beliau dimasukkan ke Hospital Evercare di Dhaka pada 23 Nov selepas mengalami masalah pernafasan. Keadaannya semakin merosot dan beliau dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu pada 27 Nov.

Doktor yang merawatnya menggambarkan keadaannya sebagai amat kritikal. Beliau berada dalam keadaan bergantung kepada sokongan hayat dan menjalani rawatan dialisis sejak beberapa hari lalu.

Kesihatan beliau dilaporkan merosot dengan ketara semasa menjalani hukuman penjara di bawah pemerintahan bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang kerajaannya digulingkan tahun lalu, menurut BNP.

Parti itu mendakwa bahawa Hasina telah mengehadkan akses Zia kepada rawatan perubatan yang mencukupi serta menghalangnya daripada mendapatkan rawatan lanjut di luar negara.

Zia dibebaskan daripada tahanan rumah tidak lama selepas Hasina melarikan diri ke India pada Ogos tahun lalu. Beliau kemudiannya berangkat ke United Kingdom pada Januari tahun ini untuk mendapatkan rawatan.

Zia dipenjarakan pada Februari 2018 selama lima tahun selepas disabitkan kesalahan atas tuduhan rasuah dan dibebaskan kepada tahanan rumah pada Mac 2020 selepas tahap kesihatannya semakin merosot.

Pada Januari tahun ini, Mahkamah Agung Bangladesh membebaskan Zia daripada pertuduhan terakhir berkaitan rasuah, sekali gus membolehkannya bertanding dalam pilihan raya umum pada Februari.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan