WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPEAKER DUN PERLIS TARIK BALIK PERMOHONAN PRK DI TIGA DUN

31/12/2025 06:41 PM

KANGAR, 31 Dis (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Rus’sele Eizan hari ini berkata beliau telah menyerahkan surat rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perlis pada semalam bagi menarik balik permohonan sebelum ini untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi tiga kerusi DUN di negeri itu.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji akan kekal kosong sehingga pilihan raya umum akan datang.

"Kekosongan luar jangka bagi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji adalah kekal berkuat kuasa sebagaimana surat saya bertarikh 29 Dis 2025.

“Saya telah menyembah maklum kepada Tuanku Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkaitan perkembangan terbaharu itu, melalui warkah yang diutuskan pada hari ini," katanya pada sidang media di Kompleks Seri Putra, di sini.

Pada Isnin lepas, Rus'sele menyerahkan notis pemakluman rasmi kekosongan luar jangka bagi tiga kerusi DUN itu kepada SPR.

Dalam notis itu, pihaknya turut memaklumkan mengenai alasan keperluan mengadakan PRK di ketiga-tiga DUN berkenaan untuk pertimbangan SPR.

Rus'sele berkata pertimbangan semula itu dibuat selepas PAS mengeluarkan kenyataan yang memberikan jaminan akan komited untuk meneruskan kelangsungan dan keberadaan parti itu dalam kerajaan negeri Perlis selaras dengan mandat diberikan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Tambahan pula, kenyataan Menteri Besar Perlis (Abu Bakar Hamzah) telah memberi jaminan akan meneruskan agenda perpaduan Perikatan Nasional (PN) yang pada masa ini masih memiliki majoriti besar, iaitu 11 daripada 15 ADUN bagi Dewan Negeri Perlis, sekali gus tiada lagi keperluan untuk diadakan pilihan raya semula bagi mengisi tiga kekosongan luar jangka berkenaan," katanya.

Pada 24 Dis lepas, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan tiga ADUN PAS di Perlis, diisytiharkan terhenti keahlian mereka serta-merta sebagai ahli parti itu berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Pada PRU15, PN memenangi 14 kerusi DUN di Perlis, terdiri daripada sembilan ADUN PAS dan lima ADUN Bersatu, manakala seorang ADUN Pakatan Harapan (PH) dari PKR bagi kerusi DUN Indera Kayangan.

-- BERNAMA


 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan