WILAYAH - SARAWAK > BERITA

"SAYONARA" EKSPRES SELATAN, HALIM MAHU JADI PENUMPANG TERAKHIR

31/12/2025 08:56 PM

JOHOR BAHRU, 31 Dis (Bernama) -- Tepat 6.05 petang, bunyi lokomotif, hon dan deruan gerabak mengiringi perjalanan akhir tren Ekspres Selatan yang berlepas dari Stesen JB Sentral di sini, menandakan penamatan perkhidmatan tren itu selepas beroperasi sejak 2016.

Tren terakhir tersebut meninggalkan Stesen JB Sentral dengan membawa 170 penumpang dan dijadualkan tiba di Stesen Gemas pada 10.47 malam ini sekali gus menoktahkan perkhidmatannya selama sembilan tahun itu.

“Perpisahan” dengan tren yang dahulunya dikenali sebagai “Shuttle Selatan” itu nyata mengundang rasa sebak penumpang apatah lagi kepada petugas dan bekas petugas yang pernah mengabdikan diri bersama perkhidmatan tersebut, termasuk Halim Said, 62.

Halim, bekas petugas Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang kini menetap di Gemas, sanggup membeli tiket bersama isterinya, Noor Aini Semawi, 52, semata-mata untuk menaiki tren berkenaan dari Gemas ke JB Sentral pada pagi tadi, sebelum kembali ke Gemas menaiki tren terakhir pada 6.05 petang.

Niat beliau dan isteri hanya satu, iaitu mahu menjadi penumpang terakhir tren berkenaan.

“Saya nak cipta rekod peribadi, saya nak jadi penumpang terakhir keluar dari tren ES46 ini,” katanya.

Halim memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kereta api pada 1986 sebagai pembantu trafik di Stesen KTMB Gemas, sebelum menamatkan perkhidmatan pada 2023 dan sepanjang tempoh itu, beliau pernah memegang beberapa jawatan termasuk sebagai pemeriksa kualiti.

Beliau berkata perubahan daripada lokomotif diesel tradisional kepada set tren moden berkuasa sendiri merupakan satu kemajuan yang perlu diterima dengan lapang dada namun tetap sarat dengan nostalgia.

“Dulu gerabak tak boleh bergerak sendiri, semuanya ditarik lokomotif diesel. Sekarang semuanya berkomputer dan lebih selesa. Kita gembira dengan kemajuan tapi kenangan tetap kita simpan,” katanya.

Lebih mengesankan, ini bukan kali pertama Halim mencatat sejarah peribadi bersama rel kerana pada 30 Jun 2011, beliau turut menjadi penumpang terakhir tren dari Tanjong Pagar, Singapura ke Malaysia, apabila Stesen Keretapi Tanjong Pagar menghentikan operasinya selepas hampir 80 tahun.

“Saya berdiri di bahagian belakang lokomotif dari Tanjong Pagar sampai Woodlands. Tangan saya melambai sepanjang perjalanan,” kata bapa kepada lima anak perempuan itu, sambil mengakui seluruh kehidupannya banyak dibentuk oleh kerjaya sebagai petugas KTMB.

“Anak-anak saya dibesarkan daripada duit bekerja dalam industri kereta api. Kereta api bukan sahaja beri jasa kepada saya tetapi saya bersyukur dapat berbakti kepada kereta api. Ia mengubah hidup saya daripada tidak bekerja kepada mampu membesarkan keluarga,” katanya.

Sementara itu, pemandu lokomotif terakhir tren tersebut, Suki Hussein, 57, berkata perasaannya bercampur baur hari ini dan menyatakan pasti akan merindui segala kenangan membawa tren klasik itu. 

“Saya sedih tetapi pada masa sama saya bangga kerana KTMB kini melangkah maju dengan memperkenalkan tren yang lebih moden dan selesa,” katanya.

Majlis pelepasan tren terakhir itu disempurnakan Pengurus Kanan Wilayah Selatan KTMB Salim Misdi, sebagai simbolik penamatan operasi perkhidmatan Ekspres Selatan selepas berkhidmat kepada pengguna di selatan tanah air dengan merekodkan 2.6 juta penumpang setakat Okt lepas. 

“Selepas ini tiada lagi bunyi lokomotif diesel. Saya percaya kita sebenarnya berubah ke arah perkhidmatan yang lebih baik. Walaupun kenangan ini sukar dilupakan, percayalah pada perubahan ini,” katanya.

KTMB sebelum ini mengumumkan operasi perkhidmatan tren Ekspres Selatan bagi laluan Gemas–JB Sentral–Gemas akan ditamatkan berkuat kuasa esok, sejajar dengan kemajuan serta kesiapsiagaan infrastruktur Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru.

--BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan