WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMBINAAN KOMPLEKS SUKAN DI KUALA MUDA BUKAN PROJEK BAHARU - MOHAMMED TAUFIQ

01/01/2026 09:11 AM

SUNGAI PETANI, 1 Jan (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari menegaskan pembinaan kompleks sukan di Kuala Muda bukannya projek baharu seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau berkata pembinaan berkenaan juga bukan menerusi peruntukan khas yang diterima selepas beliau memegang jawatan dalam Kabinet dan tiada sebarang salah guna kuasa berkaitan kelulusan projek itu.

"Projek ini (pembinaan kompleks sukan) telah lama saya perjuangkan sejak menjadi Ahli Parlimen (Sungai Petani)… telah beberapa kali diumumkan sebelum ini dan kini pada fasa pelaksanaan.

"Perbincangan berkaitan pembinaan kompleks sukan itu telah bermula seawal 2023, iaitu ketika kali pertama saya menghadiri persidangan Parlimen," katanya pada program sambutan ambang tahun baharu di Jalan Dua di sini malam tadi.

Mohammed Taufiq berkata sebelum menjadi ahli Parlimen, beliau telah mengadakan pertemuan dengan pegawai berkaitan belia dan sukan bagi mendapatkan pandangan serta input berhubung keperluan fasiliti sukan di daerah Kuala Muda.

“Saya turut beberapa kali membangkitkan perkara ini di Parlimen termasuk dalam sesi khas yang dijawab oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkembangan terkini projek oleh Jabatan Kerja Raya.

“Oleh itu, saya hanya menjelaskan status projek yang sedang berjalan dan bukan mengumumkan kelulusan baharu,” katanya.

Baru-baru ini media melaporkan sebuah kompleks sukan bernilai RM10 juta akan dibina di Bandar Puteri Jaya, Kuala Muda bagi menyediakan kemudahan sukan lebih sistematik kepada golongan belia.

Terdahulu, Mohammed Taufiq mengetuai konvoi membabitkan kira-kira 200 motosikal ke Dataran Tsunami Kota Kuala Muda untuk beramah mesra bersama penduduk setempat serta menyertai aktiviti sukan rakyat.

Beliau kemudiannya mengunjungi sebuah masjid di kawasan berkenaan bagi menyerahkan sumbangan berjumlah RM45,000 untuk kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur serta pengagihan bakul makanan kepada golongan memerlukan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan