WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ONSA PERKUKUH KESELAMATAN DALAM TALIAN, MUDAHKAN PELAPORAN KANDUNGAN MEMUDARATKAN

01/01/2026 11:24 AM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Pengguna Internet di Malaysia dijangka melihat perubahan ketara dalam aspek keselamatan dalam talian susulan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa mulai hari ini.

Berdasarkan soalan lazim (FAQ) ONSA yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di bawah ONSA, pengguna boleh mengharapkan platform mengambil langkah keselamatan yang lebih konsisten dan seimbang terhadap keselamatan dalam talian.

Hal ini termasuk maklumat dan garis panduan keselamatan yang lebih jelas, kaedah pelaporan kandungan memudaratkan yang lebih mudah, bantuan yang lebih responsif serta alat dan tetapan yang lebih baik untuk mengawal siapa yang boleh mencari, menghubungi atau berinteraksi dengan pengguna.

Menurut MCMC, bagi perkhidmatan yang berkemungkinan digunakan oleh kanak-kanak, perlindungan yang lebih kukuh dijangka dilaksanakan secara berperingkat.

“Ini mungkin merangkumi tetapan lalai (default setting) yang lebih selamat, perlindungan privasi yang lebih kukuh serta kawalan yang lebih baik terhadap interaksi,” menurut FAQ itu.

Menurut MCMC, ONSA membantu ibu bapa dengan meletakkan keperluan bagi platform untuk menyediakan alat dan tetapan keselamatan yang lebih baik serta panduan yang lebih jelas.

Ini termasuklah tetapan kawalan keselamatan untuk mengawal siapa yang boleh menghubungi kanak-kanak, mengurus jenis kandungan yang boleh diakses atau dicadangkan kepada mereka, garis panduan yang jelas mengenai penggunaan yang selamat, serta mekanisme bagi melaporkan kandungan memudaratkan dan bantuan pengguna.

ONSA juga membantu mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua di Malaysia, terutama kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan selain platform media sosial akan bertindak lebih bertanggungjawab dan pantas terhadap kandungan memudaratkan serta menyediakan piawaian keselamatan yang lebih jelas.

“ONSA memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak, keluarga dan pengguna rentan, di samping memastikan Internet yang lebih selamat dan diyakini oleh seluruh rakyat Malaysia,” menurut FAQ itu.

ONSA ialah undang-undang baharu yang bertujuan mewujudkan persekitaran Internet yang lebih selamat untuk semua di Malaysia dengan meletakkan tanggungjawab yang lebih jelas ke atas pemberi perkhidmatan bagi melindungi orang awam, khususnya kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan, daripada kandungan memudaratkan dalam talian.

Menurut MCMC, ONSA terpakai kepada pemberi perkhidmatan yang dilesenkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], iaitu Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP), Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Kandungan (CASP) dan Pemberi Perkhidmatan Rangkaian (NSP) (dirujuk secara kolektif sebagai Pemberi Perkhidmatan Berlesen).

“Semua tanggungjawab kawal selia di bawah ONSA dikenakan ke atas Pemberi Perkhidmatan Berlesen. Akta ini tidak terpakai terhadap pengguna individu,” menurut FAQ itu.

Di bawah kerangka pelesenan semasa, pemberi perkhidmatan yang menawarkan pesanan Internet atau media sosial dengan lapan juta lebih pengguna di Malaysia disifatkan sebagai pemegang lesen ASP(C).

“Oleh yang demikian, pemberi perkhidmatan ini tertakluk kepada keperluan kawal selia di Malaysia dan semua platform media sosial yang memenuhi kriteria perlesenan perlu mematuhi ONSA,” menurut FAQ berkenaan.

Menurut MCMC, seiring dengan peningkatan penggunaan Internet, pengguna semakin terdedah kepada kandungan memudaratkan seperti eksploitasi seksual kanak-kanak, penipuan dalam talian, buli siber dan kandungan ekstremisme dan ONSA diperkenalkan bagi menangani kandungan memudaratkan dengan menetapkan tanggungjawab yang jelas ke atas Pemberi Perkhidmatan Berlesen.

ONSA juga membantu membina keyakinan orang awam dengan memastikan Pemberi Perkhidmatan Berlesen mengambil tindakan untuk mencegah kemudaratan, mengesan dan menangani kandungan memudaratkan, serta memperkukuhkan keselamatan dalam talian untuk semua pengguna di Malaysia.

Menurut FAQ itu, ASP dan CASP yang dilesenkan dikehendaki mengambil langkah proaktif untuk memastikan keselamatan pengguna daripada kandungan memudaratkan dalam talian termasuk melaksanakan langkah mengurangkan risiko pendedahan kepada kandungan memudaratkan, mengeluarkan garis panduan keselamatan, menyediakan alat dan tetapan keselamatan dalam talian untuk pengguna, menyediakan sokongan kepada pengguna melalui perkhidmatan mereka serta memudahkan pelaporan kandungan memudaratkan.

ASP dan CASP yang dilesenkan juga dikehendaki melaksanakan langkah bagi melindungi keselamatan dalam talian semua pengguna termasuk memastikan kandungan memudaratkan keutamaan seperti bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan kandungan berkaitan penipuan kewangan tidak dapat diakses oleh pengguna.

Selain itu, ASP dan CASP yang dilesenkan dikehendaki menyediakan dan menerbitkan Pelan Keselamatan Dalam Talian yang menerangkan langkah-langkah keselamatan yang dilaksanakan.

Menurut MCMC, NSP yang dilesenkan pula dikehendaki bekerjasama semasa siasatan dan menyediakan bantuan teknikal yang munasabah mengikut keupayaan mereka apabila diperlukan dan mereka juga perlu menyediakan maklumat serta membenarkan pemeriksaan bagi memastikan pematuhan terhadap ONSA.

Di bawah ONSA, jenis kandungan memudaratkan disenaraikan dalam Jadual Pertama meliputi CSAM, kandungan mengenai fraud kewangan, kandungan lucah dan sumbang, kandungan yang boleh menyebabkan gangguan, tekanan, ketakutan atau kebimbangan dan kandungan yang boleh mengapi-apikan keganasan atau terorisme.

Turut disenaraikan ialah kandungan yang boleh mendorong kanak-kanak untuk menyebabkan kemudaratan kepada dirinya, kandungan yang bersifat hasutan jahat atau permusuhan dan boleh mengganggu ketenangan awam dan kandungan yang menggalakkan penggunaan atau penjualan dadah berbahaya.

“Daripada kategori ini, CSAM dan kandungan berkaitan fraud kewangan dan scam diklasifikasikan sebagai ‘kandungan memudaratkan prioriti’. Kandungan ini mesti disekat secepat mungkin kerana kemudaratan serius yang timbul daripadanya,” menurut FAQ itu.

Selain itu, peruntukan-peruntukan utama dalam ONSA tidak mengehadkan jenis teknologi khusus yang perlu diguna oleh Pemberi Perkhidmatan Berlesen.

Pada masa ini, MCMC sedang meneliti pendekatan pengesahan umur, antara lain dengan penggunaan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID, melalui proses sandbox yang melibatkan agensi berkaitan dan platform media sosial.

“Penilaian ini akan turut mengambil kira aspek keselamatan pengguna, perlindungan data peribadi, privasi, serta kesesuaian dalam konteks perundangan dan kawal selia Malaysia,” menurut FAQ itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan