WILAYAH - TIMUR > BERITA

AKPS RANTAU PANJANG REKOD LEBIH 1.78 JUTA PERGERAKAN KELUAR MASUK SEPANJANG 2025

02/01/2026 10:28 PM

KOTA BHARU, 2 Jan (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) merekodkan lebih 1.78 juta pergerakan keluar masuk individu melalui pintu sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang sepanjang tahun lepas.

Timbalan Komander AKPS Rantau Panjang Bakri Sulaiman berkata daripada jumlah itu 853,553 orang direkodkan masuk ke negara ini manakala 931,659 orang keluar melalui pintu sempadan berkenaan.

“Jumlah pergerakan yang tinggi ini mencerminkan peranan penting AKPS Rantau Panjang sebagai antara pintu masuk utama negara, khususnya bagi pergerakan rentas sempadan Malaysia-Thailand,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dari segi penguatkuasaan, 14 tangkapan telah dibuat sepanjang 2025 melibatkan pelbagai kesalahan di bawah peruntukan undang-undang imigresen.

Bakri berkata pada Mei 2025, enam individu ditahan mengikut Seksyen 56(1)(i) dan Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 manakala pada November lepas lapan lagi individu ditahan mengikut Seksyen 2(2) Akta Pasport 1960.

Dalam tempoh sama, beliau berkata AKPS Rantau Panjang turut mengeluarkan 166 Notis Penolakan Masuk terhadap individu yang gagal memenuhi syarat kemasukan ke negara ini.

“Tindakan penolakan masuk ini dilaksanakan bagi memastikan keselamatan negara sentiasa terpelihara serta mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Selain itu, AKPS Rantau Panjang merekodkan sitaan dan rampasan barangan larangan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM610,589 bagi tempoh Januari hingga Disember 2025.

Bakri berkata rampasan itu melibatkan kesalahan di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Kastam 1967, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Makanan 1983 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan