ISTANBUL, 3 Jan (Bernama-Anadolu) -- Pelakon dan aktivis kemanusiaan Amerika Syarikat (AS) Angelina Jolie, pada Jumaat menegaskan semula sokongannya terhadap rakyat Palestin ketika melakukan lawatan ke Bandar Arish di Mesir dan kawasan sempadan Rafah, apabila beliau meninjau lokasi utama berkaitan penyaluran bantuan kemanusiaan ke Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
Jolie berkata beliau berasa “berbesar hati” dapat bertemu dengan para sukarelawan bantuan kemanusiaan di lintasan berkenaan, yang beliau diiringi oleh delegasi dari AS dan disambut oleh bekas pegawai serta semasa, menurut laporan akhbar milik kerajaan, Al Ahram.
Seorang sukarelawan Bulan Sabit Merah Mesir memaklumkan kepada pemenang Oscar dan bekas Utusan Khas Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) itu bahawa ribuan lori bantuan sedang menunggu di lintasan berkenaan untuk menyalurkan bantuan segera kepada 2.2 juta penduduk Gaza.
Dalam lawatan itu, Jolie, 50, turut melawat beberapa lokasi utama di seluruh wilayah berkenaan, termasuk meninjau gudang logistik yang dikhaskan bagi menyokong rakyat Palestin di Gaza serta menilai usaha Mesir dalam menerima dan mengagihkan bantuan kemanusiaan.
Pelakon itu dilaporkan mengumumkan rancangan semasa lawatan berkenaan untuk menubuhkan sebuah perkampungan bantuan bagi kanak kanak yatim di Gaza, yang akan menyediakan tempat perlindungan selamat kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga akibat serangan Israel.
Beliau menjelaskan bahawa projek itu akan menawarkan perlindungan, penjagaan kesihatan, pendidikan serta sokongan psikologi, sambil menegaskan bahawa kanak-kanak di Gaza berhak menikmati kehidupan dan harapan seperti kanak-kanak lain di seluruh dunia.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial