GEORGE TOWN, 5 Jan (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika mandi laut di Tanjung Asam dan Teluk Bayu, Gertak Sanggul dekat sini susulan ikan ketuka dan spesies hidupan laut berbisa lain yang aktif berhampiran pantai ketika air surut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata situasi itu dijangka berlarutan hingga Mac berikutan keadaan air laut yang surut jauh.
"Bagi yang berhajat untuk mandi-manda di Tanjung Asam, Teluk Bayu atau di laut tempat yang air laut berlumpur diminta lebih berhati-hati dan elakkan mandi ketika air sedang surut kerana ketika waktu itu ikan ketuka dan spesies-spesies hidupan laut yang berbisa ini aktif berhampiran tepian pantai,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Peringatan itu susulan kejadian kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang terpaksa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas disengat ikan ketuka iaitu spesies ikan pari kecil di Pantai Tanjung Asam, petang Sabtu lepas.
Media melaporkan ibu kanak-kanak itu Siti Aishah Zainal Abidin, 37, berkata anaknya Zaeed Khan Wazir Khan tiba-tiba menjerit kesakitan ketika mandi di pantai berkenaan dan pada awalnya dia menyangka anaknya terkena batu tajam kerana darah mengalir keluar daripada kaki kanan kanak-kanak itu.
Mangsa dibawa ke klinik berhampiran sebelum dinasihati doktor untuk terus dihantar ke hospital.
Azrul Mahathir turut menzahirkan rasa simpati dan mendoakan Zaeed cepat sembuh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial