GUA MUSANG, 8 Jan (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan memberi jaminan kerja pembaikan laluan sementara berhampiran projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) di daerah ini akan dipercepatkan susulan rungutan pengguna yang terpaksa berdepan kesesakan luar biasa sejak musim cuti sekolah.
Pengarahnya Nik Badlihisham Nik Ismail berkata pihaknya telah mengambil maklum isu permukaan jalan yang rosak teruk di laluan Gua Musang-Kuala Lipis, termasuk di Jalan Persiaran Raya dan Kampung Mentara.
"Kami kini dalam proses melantik kontraktor untuk membaiki kerosakan laluan sementara di Jalan Persiaran Raya. Insya-Allah kerja menambah baik itu dapat diselesaikan sebelum Aidilfitri,” katanya kepada Bernama hari ini.
Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa lokasi hari ini mendapati aliran trafik bergerak perlahan hingga beberapa kilometer, terutamanya di kawasan laluan sempit berhampiran jajaran pembinaan LTU.
Selain permukaan jalan yang tidak rata dan berlubang, pengguna terpaksa memperlahankan kenderaan ketika melalui laluan berbatu dan mendap, menyebabkan kesesakan ketara pada waktu puncak.
Seorang pengguna, Mohd Nasir Ahmad Sayuti, 50, berkata kerosakan semakin teruk sejak musim tengkujuh baru-baru ini.
"Jalan sementara yang dibina bagi menggantikan laluan asal bukan sahaja tidak rata malah apabila hujan, lubang kecil boleh jadi kawah dalam sehari. Cuti sekolah pula buat keadaan bertambah sesak,” katanya.
Mohd Nasir berkata perjalanan yang biasanya mengambil masa 15 minit boleh mencecah lebih dua jam pada Ahad dan Isnin apabila ratusan kenderaan perantau memasuki daerah itu.
Khairul Azhar Mohd Rasid, 39, pula berkata penutupan satu hala laluan sempit di kawasan pembinaan LTU berhampiran Taman Wangi dua minggu lepas juga menyumbang kepada kesesakan.
"Mungkin ditutup untuk elak kerosakan bertambah teruk tetapi jalan di Kampung Mentara pun tidak sempurna. Setiap hujung minggu pasti sesak teruk. Harap isu ini dapat diselesaikan sebelum musim raya kerana perantau akan balik dalam jumlah lebih besar,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial