WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LAWATAN KE TURKIYE BERJAYA ERAT HUBUNGAN DUA HALA, KERJASAMA EKONOMI - ANWAR

08/01/2026 11:49 PM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

ISTANBUL, 8 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata lawatan rasmi beliau ke Turkiye berjaya mengeratkan serta memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata lawatan rasmi selama tiga hari bermula Selasa lepas itu, atas jemputan Presiden Recey Tayyip Erdogan, turut membincangkan usaha meneroka potensi kerjasama dalam pelbagai bidang.

Perdana Menteri berkata perkembangan itu dapat dilihat apabila kedua-dua negara memanfaatkan lawatan rasmi beliau dengan mengadakan Mesyuarat Majlis Kerjasama Strategik Tahap Tinggi (HLSCC) Malaysia-Turkiye yang pertama di Ankara, semalam.

“Ini suatu permulaan menarik kerana tidak banyak negara yang kita adakan hubungan dua hala seperti itu, kerana majlis peringkat tinggi ini mesti dipengerusikan bersama Presiden (Erdogan) dan saya.

“Tentunya keputusan kita itu akan dilaksanakan menteri-menteri yang bertanggungjawab melaksanakan keputusan penting yang strategik,” kata Anwar pada sidang media sebelum berlepas pulang ke tanah air selepas mengakhiri lawatan rasmi ke republik itu hari ini.

Anwar berkata antara bidang tumpuan untuk terus diperkukuh ialah pelaburan dan perdagangan, selain hubungan strategik dalam bidang pendidikan, pendidikan tinggi, penyelidikan dan teknologi baharu.

Ia termasuk bidang kecerdasan buatan (AI), bidang tenaga, dan nadir bumi, kata beliau.

Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan kerjasama dua hala tidak hanya bergantung kepada kekuatan ekonomi tradisional, sebaliknya turut merangkumi bidang berimpak tinggi yang bersifat strategik dan berorientasikan masa depan.

Sementara itu, Anwar sekali lagi merakamkan penghargaan kepada Erdogan serta Kerajaan Turkiye atas sambutan yang diberikan kepada beliau dan delegasi sepanjang lawatan rasmi ke republik berkenaan.

“Sepertimana kita saksikan sambutannya hangat sekali sebagai sahabat dan sebagai penghormatan kepada Malaysia, dan kita lihat umpamanya beberapa cara sambutan itu agak luar daripada jangkaan dan diakui sebagai satu penghormatan luar biasa kepada Malaysia tercinta,” kata Anwar.

Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkiye merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye dari Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 bilion (USD4.92 bilion) dengan republik itu terus menjadi rakan ekonomi penting Malaysia.

Pada 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar serta sumber import keempat dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (USD5.28 bilion).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan