WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SULTAN PAHANG TITAH PENERIMA HARGAI PEMBERIAN RUMAH ERC, RU’RASA 

09/01/2026 06:23 PM

BENTONG, 9 Jan (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati penerima rumah bantuan mangsa banjir Bulan Sabit Merah Emirates (ERC) dan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) supaya menjadikan kediaman itu selesa untuk seisi keluarga.

Baginda bertitah semua penerima juga perlu hidup dalam suasana muhibah dan harmoni selain menjaga kebersihan kawasan persekitaran kampung masing-masing.

“Saya ingin menasihatkan supaya jagalah rumah percuma ini dengan sebaik mungkin, saya juga mengingatkan supaya tidak ada usaha untuk menyewakan ataupun menjual kediaman ini.

“Walaupun kecil tetapi usaha ini besar sekali untuk kita semua dan kita harus berterima kasih serta bersyukur ke hadrat Allah," titah baginda ketika berucap pada Majlis Penyerahan Rumah ERC dan Ru’RASA bagi daerah Bentong di Kampung Sungai Perdak di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada majlis berkenaan, Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan kunci rumah kepada 32 keluarga membabitkan 28 rumah ERC dan empat rumah Ru’RASA di Kampung Sungai Perdak.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pembinaan rumah berkenaan bagi membantu mangsa yang ditimpa musibah banjir itu.

Sultan Pahang bertitah sebanyak 121 rumah ERC telah siap dibina, termasuk pembelian perabot dengan nilai keseluruhan berjumlah RM12.2 juta yang melibatkan tujuh daerah di Pahang. 

Seorang penerima, Chow Loy Kee, 67, berkata beliau amat gembira menerima rumah berkenaan selepas terpaksa menghuni sebuah kontena milik anak saudaranya di satu kebun durian di Karak.

"Saya hanya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang saya huni berseorangan di sini roboh akibat banjir pada 2021. Saya enggan menyewa rumah lain kerana hendak menjimatkan perbelanjaan pada masa hadapan, apabila tinggal di kontena saya dapat duduk secara percuma," katanya.

Chow mengakui pemberian rumah berkenaan banyak meringankan bebannya selepas segala harta bendanya musnah dalam bencana itu dengan melibatkan kerugian lebih RM80,000.

Seorang lagi penerima, M. Kasturi, 48, menzahirkan rasa syukur dengan rumah yang diterima kerana sebelum ini dia dan keluarga terpaksa menyewa rumah lain.

"Sebelum ini, saya terpaksa menyewa sebuah rumah selama empat tahun di Karak kerana rumah papan kami di sini musnah sama sekali akibat banjir. Ketika kejadian itu, tiada yang dapat diselamatkan kerana air mencecah bumbung dengan cepat," katanya.

Kasturi yang juga seorang peniaga kini mengakui dia bersama suami K. Baskaran, 48, bersama tiga anaknya berusia antara 20 hingga 26 tahun, kini hidup selesa sejak menghuni rumah baharu itu sejak setahun lepas.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan