KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mencadangkan penubuhan jawatankuasa antara kementerian bagi merangka garis panduan nasional berkaitan penganjuran acara komuniti melibatkan isu sensitif termasuk aspek penjenamaan, kandungan program, ketelusan mandat persatuan berdaftar serta pematuhan kepada nilai dan kepentingan awam.
Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata langkah itu penting bagi memperkukuh tadbir urus negara serta mengelakkan kekeliruan dan keresahan awam susulan penganjuran program komuniti yang menggunakan pendekatan atau penjenamaan sensitif.
Beliau berkata cadangan itu merangkumi keperluan kawal selia lebih jelas terhadap program bersifat tertutup, bermalam serta bertemakan isu kesihatan atau sosial yang berpotensi menimbulkan implikasi moral dan keharmonian masyarakat.
“Langkah ini bukan bertujuan menyekat ruang sivik atau menghukum mana-mana pihak, sebaliknya sebagai pendekatan pencegahan dan tadbir urus berhemah agar isu kesihatan awam tidak disalahgunakan sebagai pintu masuk kepada advokasi identiti atau normalisasi nilai yang bercanggah dengan asas masyarakat dan Perlembagaan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Fahmi berkata dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, pendekatan kesedaran kesihatan awam perlu mengambil kira realiti sosiobudaya, norma agama dan kerangka undang-undang sedia ada agar mesej yang disampaikan kekal berfokus kepada kesejahteraan awam.
Sebelum ini, media melaporkan penganjur program Glamping With Pride akan meneruskan acara itu walaupun mendapat bantahan daripada banyak pihak.
Program berkenaan digambarkan sebagai satu permukiman berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya serta kesedaran kesihatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial