ISTANBUL, 12 Jan (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Ahad menggesa pihak berkuasa Iran supaya menahan diri semaksimum mungkin dan mengelakkan penggunaan kekerasan “yang tidak perlu atau tidak seimbang” terhadap penunjuk perasaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Setiausaha Agung terkejut dengan laporan mengenai keganasan dan penggunaan kekerasan berlebihan oleh pihak berkuasa Iran terhadap penunjuk perasaan di pelbagai lokasi di seluruh Republik Islam Iran sehingga mengakibatkan ramai terkorban,” kata jurucakapnya Stephane Dujarric dalam satu kenyataan.
Guterres menegaskan bahawa semua rakyat Iran mesti dibenarkan menyuarakan “ketidakpuasan hati” mereka secara aman tanpa rasa takut, sambil menekankan bahawa hak terhadap kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun secara aman yang termaktub dalam undang-undang antarabangsa mesti “dihormati dan dilindungi sepenuhnya.”
Ketua PBB itu turut menggesa langkah-langkah diambil bagi membolehkan akses kepada maklumat di negara itu, termasuk memulihkan rangkaian komunikasi.
Kumpulan pemantau internet berpangkalan di London, NetBlocks pada Ahad memaklumkan bahawa Iran berada dalam keadaan luar talian selama lebih 72 jam ketika negara itu memasuki hari keempat gangguan internet di seluruh negara.
Protes tercetus pada 28 Dis lepas di Grand Bazaar Tehran berikutan kejatuhan mendadak nilai rial Iran dan keadaan ekonomi yang semakin buruk, sebelum merebak ke beberapa bandar lain.
Anadolu yang memetik kumpulan hak asasi berpangkalan di Amerika Syarikat, HRANA, melaporkan kematian 490 penunjuk perasaan dan 48 anggota keselamatan, dengan lebih 10,600 orang ditahan, namun tiada anggaran rasmi mengenai jumlah korban dikeluarkan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial