WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MEKANIK DIDAKWA BUNUH PEKERJA TANAH PERKUBURAN DI PADAWAN

12/01/2026 03:37 PM

KUCHING, 12 Jan (Bernama) -- Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pekerja tanah perkuburan Cina di Jalan Lumba Kuda, Kota Sentosa di sini pada 3 Jan lepas.

Chang Nyet Nyee, 50, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Chang, yang tidak diwakili peguam, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Lo Thin Kuek, 68, di Tanah Perkuburan Clan Chai, Kota Sentosa pada 11.30 pagi mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Chuah Khai Sheng tidak menawarkan jaminan, dan sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Feb ini.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, Chang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba membunuh anak Thin Keuk, Lo Shau Loong, 34, pada hari sama mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff mencadangkan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh memandangkan cubaan membunuh merupakan kesalahan serius dan dia mempunyai satu lagi pertuduhan iaitu membunuh di Mahkamah Majistret.

Hakim Iris Awen Jon tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 Feb sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyerahan dokumen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan