WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEMAS PERLUAS 19 TABIKA TUNAS ISTIMEWA (AUTISME) SELURUH NEGARA

12/01/2026 05:31 PM

KAJANG, 12 Jan (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) memulakan sesi persekolahan 2026 dengan langkah strategik memperkukuh ekosistem pendidikan awal kanak-kanak berkeperluan khas menerusi peluasan 19 Tabika Tunas Istimewa (Autisme) di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Hanafiah Man berkata peluasan tabika itu mencerminkan komitmen berterusan jabatan berkenaan dalam menyediakan intervensi awal yang tersusun dan inklusif untuk kanak-kanak dalam spektrum autisme.

Beliau berkata inisiatif itu bermula sebagai projek rintis pada 2025 di Melaka melibatkan daerah Jasin, Melaka Tengah dan Masjid Tanah sebelum diperluas ke seluruh negara tahun ini.

“Pelaksanaan projek rintis di Melaka sebelum ini menunjukkan perkembangan kanak-kanak yang memberangsangkan dengan maklum balas positif daripada ibu bapa apabila anak-anak mula menunjukkan peningkatan dalam komunikasi dan interaksi sosial.

“Peluasan ini melibatkan sekurang-kurangnya satu Tabika Tunas Istimewa di setiap negeri kecuali Perak yang mempunyai dua tabika dan Wilayah Persekutuan dengan tiga tabika," katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks Tabika Kemas Bandar Seri Putra, di sini. 

Tabika Tunas Istimewa@KEMAS ialah inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk menyediakan pendidikan awal inklusif bagi kanak-kanak berkeperluan khas terutamanya autisme, berusia empat hingga enam tahun.

Mohd Hanafiah berkata pemilihan kanak-kanak ke Tabika Tunas Istimewa dibuat melalui tapisan rasmi Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai saluran utama penentuan bagi kategori spektrum mild autism.

“Proses saringan ini turut melibatkan pegawai daripada KKM dan pada masa yang sama syarat pemilikan kad Jabatan Kebajikan Masyarakat juga perlu dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata hingga Januari 2026, sebanyak 154 kanak-kanak mengikuti pembelajaran di 19 Tabika Tunas Istimewa di seluruh negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan