WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CIMPANZI BIJAK AI MATI SELEPAS LEBIH 40 TAHUN BANTU KAJIAN EVOLUSI DI JEPUN

12/01/2026 05:40 PM

KYOTO, 12 Jan (Bernama-Kyodo) -- Seekor cimpanzi betina yang terkenal dengan kebolehan mengenal huruf dan angka, mati kerana usia tua dan kegagalan beberapa fungsi organ, pada usia 49 tahun.

Kematian itu dimaklumkan oleh institut Jepun yang menjalankan kajian melibatkan haiwan berkenaan. 

Kyodo News melaporkan sebuah pusat penyelidikan asal-usul evolusi dan kelakuan manusia Universiti Kyoto di Inuyama, Wilayah Aichi berkata Ai (yang bermaksud cinta dalam Bahasa Jepun) dilahirkan di barat Afrika pada 1976 dan tiba di institut itu setahun kemudian.

Ai mati pada Jumaat dengan ditemani kakitangan institut.

Cimpanzi itu mula belajar bahasa menggunakan pelbagai bahan sokongan termasuk komputer, pada usia 18 bulan.

Ai menunjukkan kemahiran bahasa termasuk menunjukkan aksara kanji yang bermaksud hijau antara banyak aksara lain, selepas melihat imej berwarna hijau.

Kisah Ai turut dipaparkan dalam majalah sains British “Nature” pada 1985.

Cimpanzi itu juga pernah melarikan diri daripada sangkar pada 1989 dengan membuka mangga menggunakan kunci.  

Pada 2000, Ai melahirkan seekor anak jantan, Ayumu, yang mendorong kajian mengenai pemindahan pengetahuan ibu bapa ke anak.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan