ALOR GAJAH, 12 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Kampung Air Paabas di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ahmad Abu Bakar berkata Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 6.15 petang.
"Pemeriksaan awal oleh pembantu perubatan Hospital Alor Gajah mengesahkan lelaki tersebut telah meninggal dunia sebelum maklumat kejadian disalurkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Alor Gajah.
“Mayat lelaki berkenaan ditemukan terbaring di atas lantai dalam sebuah bilik di rumah berkenaan dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan pada tubuh si mati,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata dipercayai lelaki itu telah meninggal dunia dalam tempoh tidak melebihi 24 jam sebelum ditemukan dan hasil temu bual dengan waris mendapati si mati mempunyai rekod penyakit jantung.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati si mati merupakan seorang pesara pembantu perubatan di sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur dan bersara pada 2023, selain tinggal bersendirian selepas isterinya meninggal dunia pada Jun tahun lepas manakala anak-anaknya bekerja dan belajar di luar Melaka.
"Mayat warga emas tersebut kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan hasil bedah siasat yang dijalankan kira-kira 8 pagi hari ini mendapati punca kematian adalah ‘kegagalan jantung kongestif akibat kardiomiopati dilatasi’,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial