WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SULTAN SELANGOR TITAH TINDAKAN TEGAS TERHADAP AKTIVITI BUDAYA SONGSANG

12/01/2026 07:21 PM

SHAH ALAM, 12 Jan (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan pihak berkuasa agama negeri supaya mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti tidak bermoral yang membabitkan budaya songsang di Selangor. 

Titah itu disampaikan kepada Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Salehuddin Saidin dan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir selepas kedua-duanya diperkenan menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan, di sini hari ini.

Sesi menghadap berkenaan diadakan bagi menyampaikan pendirian tegas baginda terhadap penganjuran program Glamping With Pride di Hulu Langat yang dijadual berlangsung minggu hadapan.

Dalam kenyataan bersama, Salehuddin dan Anhar berkata Sultan Sharafuddin turut tidak berkenan terhadap sebarang bentuk penganjuran festival, perarakan, aktiviti, sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di negeri itu.

Menurut kenyataan itu, baginda juga tidak berkenan dengan sebarang penubuhan persatuan, kelab, pertubuhan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan LGBT di Selangor.

“Selaras dengan titah Sultan Selangor itu, MAIS dan Mufti Selangor turut menyuarakan bantahan dan tentangan terhadap sebarang bentuk penganjuran aktiviti sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di Selangor.

“MAIS dan Mufti Selangor menegaskan bahawa agama Islam telah mengharamkan amalan songsang LGBT yang mempunyai persamaaan dengan perbuatan liwat kaum Nabi Luth a.s., perbuatan ini dimurkai oleh Allah SWT dan telah menimpakan azab ke atas kaum Nabi Luth a.s. atas perbuatan tersebut,” menurut kenyataan itu. 

Salehuddin dan Anhar turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menghalang dan tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program terbabit serta program seumpamanya di Selangor. 

Kedua-dua pihak turut meminta supaya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), PBT dan PDRM menjalankan pemantauan rapi dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang bagi memastikan aktiviti sedemikian tidak dianjurkan seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor.  

“Sebarang usaha untuk mempromosi atau menghalalkan gaya hidup songsang  LGBT ini bercanggah dengan Maqasid syariah, khususnya dalam aspek menjaga keturunan (Hifz al-Nasl). Selain itu, sebarang aktiviti LGBT juga mengundang kepada normalisasi LGBT dan ia boleh menjadi satu ancaman kepada aqidah umat Islam.  

“Ini kerana mereka menghalalkan apa yang telah jelas diharamkan oleh agama Islam. Mereka juga percaya bahawa manusia bebas menentukan identiti jantina sedangkan ia bertentangan dengan fitrah yang ditetapkan di luar ketetapan fitrah Allah SWT,” menurut kenyataan itu. 

MAIS dan Mufti Selangor dalam kenyataan itu turut menuntut komitmen semua pihak dalam memelihara kesucian agama Islam untuk memastikan negeri terbabit kekal harmoni dan bersih daripada sebarang amalan songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam.  

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan