WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KEMPEN #MADANIMEMBANTU DILANCAR, PERKUKUH USAHA KERAJAAN BANTU RAKYAT - ZULKIFLI

12/01/2026 11:07 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan melancarkan Kempen #MadaniMembantu pada Majlis Amanat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Putrajaya hari ini, sebagai inisiatif memperkukuh usaha berterusan jabatan itu membantu rakyat.

Zulkifli menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini berkata kempen berkenaan juga ialah inisiatif untuk memastikan rakyat menerima bantuan dengan sebaik-sebaiknya.

Beliau berkata peruntukan RM2.6 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam Belanjawan 2026 akan digunakan untuk pengurusan dan pemerkasaan hal ehwal Islam termasuk pentadbiran, pembangunan dasar, program dakwah serta pengukuhan institusi agama.

“Sokongan diberi sedaya upaya kepada masjid, surau, sekolah agama, maahad tahfiz, institusi pondok, asnaf dan pelajar institusi agama melalui bantuan sara hidup, pendidikan dan pembangunan komuniti berteraskan nilai MADANI,” katanya menerusi hantaran itu.

Zulkifli berkata peruntukan segera RM200 juta seperti yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini pula adalah bagi kerja baik pulih, naik taraf dan penyelenggaraan sekolah agama serta maahad tahfiz di seluruh negara.

Menurut Zulkifli, semua inisiatif itu membuktikan bahawa di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI serta dengan sokongan warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan rakyat Malaysia, Islam terus subur, mekar dan terjamin di negara ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan