WILAYAH - TIMUR > BERITA

LEBIH 100 KES LIBATKAN “ALONG” DI KELANTAN TAHUN LEPAS DIBUKA SEMULA UNTUK SIASATAN

13/01/2026 11:34 AM

KOTA BHARU, 13 Jan (Bernama) -- Lebih 100 kes berkaitan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau “along” yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) di negeri ini pada tahun lepas, telah dibuka semula untuk siasatan. 

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata tindakan itu diambil selepas semakan semula mendapati wujud elemen prima facie dalam kebanyakan kes berkenaan yang sebelum ini tidak diteruskan siasatan.

"Banyak kes melibatkan pinjaman wang dan ugutan termasuk ada kes mangsa pinjam RM40,000 tetapi dipaksa bayar balik hingga RM200,000. Kes ini memberi tekanan hebat kepada mangsa hingga ada yang terfikir untuk membunuh diri, justeru kita buka semula siasatan.

"Kegiatan ‘along’ di negeri ini turut melibatkan peminjam dalam kalangan penjawat awam serta individu berpendidikan," katanya kepada pemberita hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata modus operandi ugutan lazimnya termasuk perbuatan conteng dan simbah cat di premis mangsa, dipercayai dilakukan oleh sekumpulan samseng tempatan yang diupah oleh sindiket ‘along’ dari luar Kelantan.

"Mereka (along) ini kebanyakannya bukan dari Kelantan tetapi dari Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan negeri lain. Apabila masuk ke kawasan ini, mereka bekerjasama dengan kumpulan samseng tempatan dan mengupah mereka.

"Di peringkat daerah, ada kes yang sebelum ini tidak dibuka. Saya arahkan semakan semula dan jika ada prima facie, siasatan mesti diteruskan. Kita tidak gentar atau takut dengan ugutan," katanya yang mengarahkan agar kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 5(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Mengulas mengenai kes ugutan terhadap beliau baru-baru ini, Mohd Yusoff berkata polis telah mengambil keterangan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan, namun kesemua mereka dibebaskan selepas dapat membuktikan alibi masing-masing.

"Kita masih siasat dari semua sudut termasuk kemungkinan mereka diupah oleh ‘along’. Setakat ini masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan.

"Mesej ugutan yang diterima dipercayai sengaja dicipta untuk menimbulkan tanda tanya tetapi polis tidak menolak sebarang kemungkinan, termasuk kaitan dengan tindakan membuka semula kes ‘along’ yang diambil sejak dua minggu lepas," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan