WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MAXIM MALAYSIA PERKUKUH KESELAMATAN, PEMATUHAN SELEPAS PENERIMAAN LESEN APAD

13/01/2026 12:06 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Maxim Malaysia telah memperkukuh rangka kerja keselamatan dan pematuhan operasinya, selepas menerima lesen operasi penuh daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), sekali gus secara rasmi menjadi pengendali e-panggilan yang dibenarkan sepenuhnya di Malaysia.

Pengendali e-panggilan itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kelulusan tersebut diberikan, selepas syarikat berjaya menamatkan tempoh pemantauan mandatori pada November lepas serta memenuhi semua keperluan kawal selia di bawah rangka kerja pengangkutan negara.

Wakil Pematuhan Undang-Undang dan Perhubungan Kerajaan Maxim Malaysia Mushfique Ahmed Chowdhury berkata kelulusan APAD itu mengukuhkan kepercayaan terhadap platform berkenaan serta meningkatkan tanggungjawab syarikat untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih selamat.

“Kami telah membuktikan bahawa kami merupakan pemain yang perlu dan berdaya saing dalam landskap e-panggilan Malaysia, sekali gus membantu meningkatkan mobiliti di semua negeri. Menjelang 2026, tumpuan kami kekal untuk mempertingkatkan aspek keselamatan, mengekalkan fleksibiliti untuk rakan pemandu serta memperluas akses kepada mobiliti yang boleh dipercayai bagi komuniti di seluruh Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan Maxim Malaysia itu, kebenaran penuh tersebut telah membawa kepada penambahbaikan nyata untuk rakan pemandu dan penumpang, termasuk proses pendaftaran yang lebih lancar, bantuan kewangan secara langsung bagi pelesenan mandatori serta fleksibiliti yang lebih besar dalam pengaturan kerja.

Maxim Malaysia dalam kenyataan itu memaklumkan bahawa setiap perjalanan, kini dikendalikan pemandu yang dilesenkan sepenuhnya dan telah disahkan, sekali gus mengukuhkan keyakinan terhadap aspek keselamatan dan kesahihan setiap perjalanan.

Menurut kenyataan itu ciri-ciri keselamatan telah disepadukan dalam operasi harian aplikasi tersebut, termasuk fungsi SOS yang dipertingkatkan, membolehkan pengguna berkongsi butiran perjalanan secara langsung dengan kenalan kecemasan, selain pilihan Women’s Rate yang memadankan penumpang wanita dengan pemandu wanita, bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan.

Selain itu menurut Maxim Malaysia, syarikat itu turut menanggung kos pelesenan PSV serta bekerjasama dengan lebih 25 sekolah memandu di seluruh negara, bagi memperkemas dan mempercepatkan proses pengesahan undang-undang serta latihan pemandu.

“Maxim turut menekankan komitmen terhadap inklusiviti, dengan menggabungkan akses digital dan penglibatan komuniti secara khusus. Ciri Mesra OKU, termasuk fungsi tempahan dengan bantuan suara, meningkatkan keboleh capaian bagi pengguna OKU.

“Buat tahun kedua, Maxim terus menyokong komuniti cacat penglihatan dalam pelbagai bentuk. Pada November 2025, syarikat telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Orang Buta Malaysia, untuk membantu mengatasi halangan mobiliti melalui sokongan langsung,” menurut kenyataan itu.

Dari segi peraturan, Maxim Malaysia menyokong prinsip utama Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025, sambil menekankan kepentingan fleksibiliti kerja berasaskan platform dan melindungi status pemandunya sebagai rakan kongsi.

Melangkah ke 2026, strategi Maxim memberi fokus bagi memperluas mobiliti yang selamat dan boleh dipercayai di seluruh Malaysia sekaligus secara berperingkat berkembang menjadi ekosistem perkhidmatan harian yang lebih luas, terutamanya pembangunan perkhidmatan penghantaran.

“Ini termasuk memperluas capaian di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan, mewujudkan peluang pendapatan tambahan untuk rakan pemandu dan memperkukuh inisiatif tanggungjawab sosial korporat untuk memberi nilai lestari kepada komuniti yang dilayannya.

“Syarikat juga bertujuan untuk meningkatkan ciri teknologi dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa serta komuniti bagi menyokong ekosistem pengangkutan moden dan inklusif,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan