KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia tersingkir awal pada Kejohanan Badminton Terbuka India 2026 selepas tewas pada pusingan pertama hari ini.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu dilihat masih tercari-cari rentak permainan terbaik apabila kecundang dalam pertarungan tiga set menentang wakil Denmark Rasmus Gemke pada aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi.
Zii Jia memulakan perlawanan dengan langkah kurang kemas apabila tewas 13-21 pada set pertama sebelum bangkit mencatat kemenangan 21-18 pada set kedua, namun gagal mengekalkan momentum apabila akur dengan kekalahan 18-21 pada set penentuan.
Ia adalah penyertaan kedua Zii Jia musim ini selepas turut tersingkir pada pusingan pertama Terbuka Malaysia minggu lepas.
Atlet kelahiran Kedah itu dalam usaha membina momentum kemunculan semula selepas menarik diri pada pusingan pertama Masters China 2025 pada September lepas bagi memberi tumpuan kepada pemulihan masalah kesihatan dan kecergasan.
Ia susulan kecederaan belakang yang dialami tahun lepas serta kecederaan buku lali berlarutan sejak Final Jelajah Dunia BWF pada Disember 2024.
Sementara itu, wakil negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun meneruskan cabaran Malaysia dalam saingan beregu lelaki apabila mencatat kemenangan straight set ke atas rakan senegara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-16, 21-15.
Kemenangan itu mengatur pertemuan Wei Chong-Kai Wun dengan pasangan Perancis Christo Popov-Toma Junior Popov, yang terdahulu menyingkirkan satu lagi beregu negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal 21-11, 21-19.
Turut tersingkir ialah beregu berpengalaman negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang tewas kepada gandingan India Hariharan Amsakarunan-M.R. Arjun 15-21, 18-21.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial