NEW YORK, 13 Jan (Bernama-Xinhua) -- Kira-kira 15,000 jururawat melancarkan mogok di Bandar Raya New York pada Isnin selepas kesatuan sekerja dan pihak hospital gagal mencapai kata putus dalam rundingan kontrak, sekali gus mencatatkan mogok kejururawatan terbesar dalam sejarah bandar raya itu, lapor Xinhua.
Kumpulan besar jururawat yang memakai topi kait merah berkumpul di luar Hospital Mount Sinai dan Hospital New York-Presbyterian di Manhattan, sambil melaungkan slogan dan membawa sepanduk tertera perkataan seperti "Hentikan Menyekat Suara Jururawat”, "Kontrak Adil” serta "Jururawat Selamat, Pesakit Selamat" .
Persatuan Jururawat Negeri New York menyatakan yang jururawat daripada lima hospital swasta utama berhenti kerja dan menuduh pihak hospital enggan "menyelesaikan kontrak adil yang merangkumi nisbah kakitangan selamat yang boleh dikuatkuasakan, jaminan faedah penjagaan kesihatan untuk petugas barisan hadapan, serta perlindungan daripada keganasan di tempat kerja."
"Pengurusan hospital enggan menangani isu paling penting kami iaitu keselamatan pesakit dan jururawat," kata ketua persatuan itu Nancy Hagans dalam satu kenyataan pada Isnin.
Kesatuan itu mendakwa bahawa jururawat kini berada di bawah tekanan beban kerja yang tidak tertanggung dan mereka menuntut langkah keselamatan yang lebih baik di tempat kerja, serta had terhadap penggunaan kecerdasan buatan (AI) di hospital.
Datuk Bandar New York Zohran Mamdani menyertai penunjuk perasaan di luar sebuah hospital di Manhattan bagi menunjukkan sokongan kepada jururawat yang terlibat dalam mogok.
Beliau menggesa kedua-dua pihak untuk terus berunding dan mencapai kesepakatan “yang menghargai jururawat dan memastikan hospital terus beroperasi."
"Jururawat kita memastikan bandar ini terus bertahan dalam detik paling sukar. Nilai mereka tidak boleh dirunding," katanya.
Gabenor New York Kathy Hochul mengisytiharkan darurat Jumaat lepas sebelum mogok bermula memandangkan ia berlaku ketika musim selesema yang teruk dan berisiko mengganggu operasi hospital
Hospital terlibat mengupah jururawat sementara dalam usaha mengisi kekurangan tenaga kerja semasa mogok dan menyatakan dalam satu kenyataan bahawa mereka akan "melakukan apa sahaja yang perlu untuk meminimumkan gangguan, semasa rundingan ."
Hospital Montefiore Einstein, antara hospital yang terlibat di Bronx, dalam satu mesej menyatakan kesediaan untuk menghadapi mogok yang mungkin berlarutan selama beberapa minggu, namun memberi jaminan kepada pesakit bahawa janji temu sedia ada tetap diteruskan.
--BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial