WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SIASATAN TERHADAP POWELL PAKSA PEMIMPIN FED BERSATU MENENTANG TRUMP

13/01/2026 07:23 PM

MOSCOW, 13 Jan (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) terhadap Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Jerome Powell memaksa kepimpinan Fed bersatu menentang serangan Presiden AS Donald Trump, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik akhbar Financial Times.

Laporan itu memetik kenyataan bekas pegawai kanan Fed.

Pada Ahad, Powell mengumumkan bahawa Jabatan Kehakiman AS mengugut beliau dengan tuduhan jenayah berkaitan keterangannya di Kongres mengenai kerja pengubahsuaian ibu pejabat Fed.

Bagaimanapun, Powell percaya tuduhan itu berkaitan dengan keengganannya memenuhi tuntutan Trump supaya menurunkan kadar faedah.

Menurut laporan itu pada Isnin, tekanan Trump boleh memakan diri dan menyebabkan Powell kekal sebagai Pengerusi Fed sehingga 2028, iaitu apabila tempohnya tamat.

“Mereka yang bimbang tentang ancaman terhadap kebebasan institusi mungkin lebih cenderung untuk kekal dalam jawatan supaya Trump mempunyai lebih sedikit kerusi untuk menguasai lembaga itu,” kata bekas Pengerusi Fed Janet Yellen kepada akhbar tersebut.

Tindakan Trump telah mengurangkan kepada sifar kemungkinan Powell meninggalkan Fed selepas beliau melepaskan jawatan pengerusi, kata bekas pegawai kanan Fed David Wilcox seperti dilaporkan.

Trump berulang kali mengkritik Powell kerana tindakan perlahan menurunkan kadar faedah dan pernah menyuarakan kemungkinan memecat Pengerusi Fed itu. Trump juga mendakwa tindakan Powell menyebabkan AS kerugian trilion dolar dan menuduhnya mengendalikan “pengubahsuaian bangunan paling tidak cekap, atau paling korup, dalam sejarah.”

Pada Isnin, Fox Business melaporkan bahawa Trump sedang mempertimbangkan Ketua Pegawai Pelaburan Pendapatan Global BlackRock, Rick Rieder, untuk jawatan Pengerusi Fed dan merancang menemu bual beliau pada Khamis di Rumah Putih.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan