WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RAJA PERMAISURI AGONG DIPERSEMBAH TAKLIMAT PROGRAM PEMENTORAN SENI BUDAYA PELAJAR B40

13/01/2026 08:37 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan dipersembah taklimat mengenai Program Pementoran Berkonsepkan Seni dan Budaya Kepada Pelajar Golongan B40 di sekolah terpilih sekitar ibu negara.

Taklimat dipersembahkan oleh Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini bersama Ketua Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Mohd Amran Mohd Haris itu berlangsung di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, antara agenda utama yang dipersembahkan ialah perincian penuh konsep program yang dizahirkan atas hasrat murni inisiatif Seri Paduka Baginda.

Inisiatif itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar daripada golongan B40 tentang peluang kerjaya industri seni dengan mendekatkan mereka bersama penggiat serta artis ternama.

“Ia juga sebagai sebuah saluran untuk mencungkil bakat masa hadapan serta pengisian bermanfaat bagi mengelak terjerumus ke dalam gejala sosial,” menurut hantaran itu.

Dalam hantaran sama,  Azuan Effendy berkata segala gerak kerja bagi menjayakan program itu sedang giat dijalankan dan bersyukur semua pihak yang terlibat memberikan sokongan padu.

Beliau berkata penglibatan secara terus Raja Permaisuri Agong dalam memastikan setiap perancangan juga menjadi inspirasi buat mereka untuk memberikan yang terbaik.

Pada Julai tahun lepas, Raja Permaisuri Agong dilaporkan menitahkan supaya pelajar sekolah menengah, khususnya daripada keluarga B40, didedahkan kepada industri seni sebagai usaha membendung mereka daripada terjerumus ke dalam gejala sosial.

Raja Zarith Sofiah bertitah pendedahan itu penting untuk membuka peluang kepada pelajar B40 yang mungkin tidak menonjol dalam bidang akademik, tetapi mempunyai potensi dalam bidang seni.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan