WILAYAH - SARAWAK > BERITA

WARGA EMAS RUGI RM668,800 TERTIPU PELABURAN SAHAM JANJI KEUNTUNGAN LUMAYAN

14/01/2026 01:43 PM

JOHOR BAHRU, 14 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun mengalami kerugian sebanyak RM668,800 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Kulai ACP Tan Seng Lee berkata pihaknya menerima laporan daripada warga emas itu semalam, yang mendakwa terpedaya dengan tawaran pelaburan menerusi aplikasi telefon bimbit dikenali yang menjanjikan keuntungan antara 10 hingga 20 peratus dalam tempoh 24 jam.

Beliau berkata tertarik dengan pulangan yang dijanjikan, mangsa telah melakukan 25 transaksi pembayaran ke dalam 17 akaun bank tempatan berbeza bermula 28 Nov 2025 hingga 6 Jan lepas.

“Mangsa turut membuat semakan melalui aplikasi tersebut dan mendapati keuntungan yang diperoleh mencecah USD102,303.64 (kira-kira RM415,000). Namun, cubaan untuk mengeluarkan wang berkenaan gagal apabila akses disekat.

“Menyedari dirinya telah ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan skim pelaburan yang menawarkan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan