KAMPALA, 14 Jan (Bernama-dpa) -- Uganda menutup akses kepada Internet dan beberapa media sosial menjelang pemilihan parlimen dan presiden pada Khamis bagi mencegah penyebaran maklumat salah, menurut pihak berkuasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Perkhidmatan pesanan juga tidak beroperasi sejak petang Selasa di negara Timur Afrika itu.
Pihak berkuasa berkata langkah itu susulan saranan bahagian keselamatan namun menurut aktivis hak asasi manusia kerajaan telah mewujudkan suasana ketakutan.
Beberapa hari sebelum itu, beberapa organisasi bukan kerajaan terpaksa mengehadkan aktiviti mereka kerana didakwa melanggar kepentingan nasional termasuk sebuah persatuan wartawan, badan pemantauan pemilihan dan beberapa kumpulan hak asasi manusia.
Presiden Uganda Yoweri Museveni, 81, bertanding pada pemilihan kali ini bagi penggal ketujuh. Beliau memimpin negara itu sejak 1986.
Antara lapan calon, bekas pemuzik Robert Kyagulanyi, 43, atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Bobi Wine dilihat sebagai pesaing terkuat Museveni. Beliau popular terutamanya dalam kalangan orang muda.
Bagaimanapun Kyagulanyi berdepan halangan ketika berkempen termasuk pasukan keselamatan beberapa kali menyekat acara kempen atau meleraikan peserta menggunakan gas pemedih mata, menurut Amnesty International yang mengkritik tindakan itu.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial