WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMERGIAN AZLAN KEHILANGAN BESAR BUAT BERNAMA RADIO

15/01/2026 11:34 AM

KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Pemergian Ketua Radio Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Azlan Idris disifatkan sebagai kehilangan besar kepada organisasi khususnya bagi warga Bernama Radio yang berkhidmat di bawah kepimpinannya.

Pengurus Perkhidmatan Penyiaran Radio Bernama Mohd Shukhairman Mohd Zain berkata beliau mengenali Allahyarham sejak menyertai Bernama Radio pada 2008 dan menyifatkan Azlan sebagai seorang ketua yang tegas namun sentiasa mendengar pandangan daripada petugas.

“Allahyarham seorang yang sangat mementingkan kualiti kerja, mementing kesempurnaan, namun pada masa sama amat menjaga kebajikan staf. Beliau sentiasa memberi ruang untuk pandangan dan idea dikongsi,” katanya ketika ditemui di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju.

Menurut Mohd Shukhairman, kepimpinan Azlan turut menekankan semangat kerja berpasukan dan beliau sentiasa memastikan setiap arahan disampaikan dengan jelas serta berlandaskan motivasi.

“Beliau seorang bos yang sangat baik. Selagi kita melaksanakan arahan dengan penuh tanggungjawab, beliau sentiasa menyokong dan menaikkan semangat staf,” katanya yang berkongsi perbualan terakhir bersama Allahyarham adalah sekitar 6.30 petang semalam.

“Allahyarham sempat bertanya secara berseloroh sama ada saya akan terus berada di Bernama Radio sekiranya beliau sudah tiada. Ketika itu, saya tidak menganggapnya sesuatu yang serius, namun hari ini kata-kata itu benar-benar memberi kesan,” katanya.

Sahabat baik Allahyarham, Letfee Ahmad, 69, yang juga antara pelopor Bernama Radio menyifatkan Azlan seorang yang tegas namun positif dan sentiasa memberi motivasi kepada anak buahnya dalam melaksanakan setiap tanggungjawab.

“Dia ni seorang yang komited terhadap kerjanya. Kalau jumpa dia mesti kalau tak borak tentang kerja, mesti borak tentang sukan terutamanya kelab kegemarannya, Liverpool.

“Jika memulakan sesuatu tugasan, beliau akan pastikan ia diselesaikan dengan sebaik mungkin, pastikan ayat itu diteliti, lengkap dan sebutan tepat dan padat,” katanya.

Letfee berkata pengalaman Allahyarham menguruskan berita sukan untuk Bernama Radio serta jaringan luas dalam kalangan pemimpin korporat selain menjadi antara petugas awal rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3, menjadikan beliau dikenali ramai.

Sementara itu, wartawan Bernama Radio Wan Nadia Khairani Wan Chik, 44, berkata ketuanya itu bijak menilai potensi pekerja dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada mereka dalam melaksanakan tugasan.

Di samping tidak lokek berkongsi ilmu, Nadia Khairani yang juga pemenang anugerah Emas MPI Petronas 2024 dalam kategori Lintas Langsung berkata Allahyarham bijak memotivasikan petugas di bawah seliaannya serta sentiasa mencabar setiap anak buah untuk meneroka potensi lebih jauh.

“Sebelum saya memenangi anugerah itu, saya tidak menyedari kelebihan saya sehinggalah Azlan lontarkan kritikan membina terhadap lintas langsung saya untuk menjadi lebih baik.

“Ketika saya buat membuat liputan kemalangan udara Elmina, beliau memuji saya on the spot, lantas menaikkan semangat saya untuk melakukan lebih baik pada hari itu,” katanya.

Azlan, 57, yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur awal pagi ini, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah, Taman Selasih, Gombak. 

Allahyarham meninggalkan isteri yang merupakan Pengurus Saluran dan Kandungan Bernama TV Wan Syahrina Wan Abdul Rahman serta empat orang anak.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan