SEREMBAN, 15 Jan (Bernama) -- Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) memperuntukkan RM8 juta bagi program membina baharu dan membaik pulih rumah veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara tahun ini.
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata peruntukan itu melibatkan 40 unit rumah baharu dengan kos RM75,000 sebuah di Semenanjung serta RM85,000 di Sabah dan Sarawak manakala kerja membaik pulih 280 rumah veteran membabitkan kira-kira RM17,000 seunit pada kadar siling.
“Kita akan mula sebut harga pada awal tahun ini dan berharap menjelang Mac atau April sudah boleh memulakan kerja bina dan baik pulih di samping menyelesaikan projek tahun lepas,” katanya.
Adly berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah Baharu di bawah Inisiatif Perumahan Veteran ATM kepada veteran dan balu golongan itu di sini hari ini.
Beliau berkata inisiatif itu bagi membantu veteran ATM atau balu berpendapatan rendah dan tidak mempunyai kediaman sendiri atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah sendiri yang sesuai untuk dibina rumah lebih baik.
Dalam pada itu, Adly berkata sehingga Disember tahun lepas, 32 permohonan bina baharu dan 316 permohonan baik pulih diluluskan melibatkan peruntukan RM7.24 juta dengan tiga dibina baharu serta 33 baik pulih di Negeri Sembilan.
Beliau berkata kementerian secara konsisten berusaha untuk meningkatkan peruntukan bantuan perumahan sejak 2021, iaitu daripada RM4.86 juta kepada RM7.243 juta pada tahun lepas.
Dalam perkembangan lain, Adly berkata pihaknya sentiasa memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sebarang siasatan sedang dijalankan termasuk membabitkan pegawai.
Beliau juga memaklumkan pihaknya akan melaksanakan beberapa komitmen dan inisiatif sepanjang tahun ini bagi memperkukuh aspek integriti dalam sistem pengurusan kementerian.
Berhubung persepsi rakyat terhadap ATM susulan isu masa kini, Adly berharap keyakinan rakyat terhadap anggota pertahanan negara tidak terjejas memandangkan pengorbanan mereka mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
“Mereka bukan sahaja berkorban masa, tenaga malah nyawa untuk negara. Pengorbanan itu sangat kita hargai tetapi pada masa sama, apa-apa perkara terkait integriti menjadi tanggungjawab kerajaan (untuk menanganinya).
“Penghargaan kita terhadap jasa dan pengorbanan anggota pertahanan termasuk veteran tidak sepatutnya luntur,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial