KUALA LUMPUR, 15 Jan (Bernama) -- Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan hari ini berkata Projek Membina Makmal Ujian dan Bangunan Kompleks Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bernilai RM129.4 juta perlu disiapkan mengikut jadual, atau lebih awal.
Beliau berharap projek itu, yang dijadual dilaksanakan dalam tempoh 178 minggu bermula 7 Jan lepas dan siap pada 5 Jun 2029, tidak mengabaikan piawaian sejajar dengan prinsip Sifar Projek Sakit dan Projek Siap Lebih Awal (AOT) yang diamalkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).
Ahmad berkata kedua-dua aspek membuktikan bahawa KKR bukan sahaja menekankan pematuhan terhadap jadual dan piawaian tetapi juga mengutamakan keberkesanan pengurusan projek demi manfaat rakyat serta kemakmuran negara.
“Sekiranya pengurusan projek dan kewangan dilaksanakan dengan baik, projek tidak akan lewat jadual dan tidak dikategorikan sebagai projek sakit... sasaran kementerian adalah sifar projek sakit,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat setuju terima (SST) kepada MTD Construction Sdn Bhd di sini.
Beliau berkata kontraktor yang menerima SST perlu memberi komitmen penuh terhadap mutu kualiti, mematuhi spesifikasi, kos, masa dan keselamatan.
Ahmad juga berkata pengalaman terdahulu menunjukkan kelewatan projek kebanyakannya berpunca daripada kelemahan pengurusan projek dan kewangan justeru kontraktor yang terlibat dalam projek MIROS diingatkan supaya memberi perhatian penuh kepada kedua-dua aspek berkenaan.
Projek itu merangkumi pembinaan bangunan makmal ujian dan pentadbiran, blok sokongan serta kemudahan berkaitan yang menyokong fungsi penyelidikan dan pengujian keselamatan jalan raya.
Penyiapan fasiliti itu memperkukuh peranan MIROS sebagai pusat rujukan penyelidikan keselamatan jalan raya di peringkat nasional dan serantau selain meningkatkan kecekapan operasi institusi berkenaan dalam menjalankan program penyelidikan serta latihan secara lebih sistematik, selamat dan berimpak tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial