WILAYAH - SARAWAK > BERITA

IRAN NAFI HUKUMAN MATI KETIKA TRUMP ANCAM AMBIL TINDAKAN TEGAS

15/01/2026 09:08 PM

ISTANBUL, 15 Jan (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar Iran Abbas Araghchi pada Rabu menafikan dakwaan yang pihak berkuasa negaranya merancang untuk melaksanakan hukuman gantung terhadap penunjuk perasaan selepas beberapa minggu tercetusnya ketegangan, lapor Anadolu Ajansi.

“Tidak ada sebarang hukuman gantung, hari ini atau esok … saya boleh beritahu anda, saya yakin tentang itu. Tiada rancangan untuk hukuman gantung sama sekali,” kata Araghchi kepada penyiar berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Fox News, dalam satu temu bual.

Presiden AS Donald Trump pada Selasa berkata Washington akan mengambil “tindakan yang sangat tegas” sekiranya Iran melaksanakan hukuman mati terhadap penunjuk perasaan.

Araghchi turut mendakwa keadaan di Iran kembali tenang, dengan kerajaan berada dalam “kawalan penuh.”

“Kami berdepan dengan satu operasi keganasan berskala besar sebagai kesinambungan daripada perang 12 hari ke atas kami oleh Israel dan Amerika.

“Jadi hari ke-13 perang ialah 8 Jan … Kami berada di tengah-tengah peperangan dan kini selepas tiga hari operasi keganasan, keadaan kini tenang,” katanya.

Pegawai Iran menuduh AS dan Israel menyokong “rusuhan” dan “keganasan” di tengah-tengah protes itu.

Menolak laporan yang mendakwa lebih 12,000 kematian berlaku semasa protes sebagai “tidak berasas” dan sebahagian daripada “kempen maklumat palsu,” menteri luar itu sebaliknya menegaskan yang jumlah kematian adalah dalam “ratusan.”

Apabila ditanya berapa ramai penunjuk perasaan yang maut, Araghchi berkata angka tepat akan “diumumkan tidak lama lagi, mungkin malam ini” oleh kerajaan Iran.

Pihak berkuasa setakat ini belum mengeluarkan angka rasmi mengenai jumlah kematian atau tahanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan