WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MOTIF KES BUNUH DI SRI AMAN MASIH DALAM SIASATAN - POLIS

16/01/2026 11:42 AM

KUCHING, 16 Jan (Bernama) -- Motif sebenar kes pasangan suami isteri ditemukan maut di sebuah rumah di Sri Aman pada 14 Jan lepas masih dalam siasatan, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah.

Beliau berkata setakat ini pihaknya telah merakam keterangan daripada 21 orang saksi termasuk ahli keluarga, jiran dan rakan sekerja mangsa bagi membantu siasatan.

Menurut Mohamad Zainal, proses bedah siasat juga telah dijalankan ke atas kedua-dua mangsa di Jabatan Forensik, Hospital Umum Sarawak semalam.

“Hasil bedah siasat ke atas mangsa lelaki (suami) mendapati terdapat 11 kecederaan akibat objek tajam melibatkan bahagian leher dan dada manakala hasil bedah siasat ke atas mangsa perempuan (isteri), mendapati terdapat luka tikaman di bahagian leher. Sebab kematian disahkan sebagai kecederaan akibat tikaman di dada dan leher,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Zainal berkata siasatan masih dijalankan secara profesional, telus dan berasaskan bukti forensik serta keterangan saksi.

Pada 14 Jan lepas, Mohamad Zainal mengesahkan seorang guru besar dan isterinya ditemukan maut di Jalan Brayun, Sri Aman dengan kesan kecederaan serius pada bahagian tubuh.

Polis dimaklumkan penemuan pasangan berusia 45 dan 44 tahun itu oleh orang awam pada 6.55 pagi dan siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan