WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MSM DIUNJUR DINIAGA SEKITAR RM4,000 SATU TAN PADA 2026 - KENANGA

16/01/2026 01:13 PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd menjangka harga minyak sawit mentah (MSM) diniagakan sekitar RM4,000 satu tan pada 2026 berbanding RM4,308 satu tan pada 2025, disokong oleh bekalan minyak makan global yang masih terhad walaupun bekalan meningkat, dengan paras inventori dijangka tidak menunjukkan penambahbaikan ketara.

Bank pelaburan itu menerusi nota penyelidikan hari ini berkata peningkatan kos dijangka berlaku, tetapi margin huluan dijangka kekal terkawal.

"Prospek segmen hiliran masih lemah tetapi sumbangan bukan perladangan yang lebih ketara daripada hartanah dan tenaga boleh baharu dijangka meningkat.

“Oleh itu, peningkatan hasil aset dalam kalangan kumpulan perladangan bersepadu kini semakin menjadi tumpuan," kata bank pelaburan itu.

Menurutnya hasil Indonesia yang perlahan pada 2024 telah mendorong harga MSM kepada RM4,700-4,800 satu tan sepanjang suku keempat 2024 dan suku pertama 2025, dengan harga yang stabil pada sekitar RM4,000 kemudiannya.

"Pendirian Indonesia baru-baru ini untuk mengekalkan penggunaan biodiesel B40 dan menangguhkan pelaksanaan campuran B50 selepas pertengahan 2026 turut menyokong unjuran berhati-hati kami mengenai harga," katanya.

Kenanga mengekalkan penafaran "neutral" terhadap sektor ini.

"Pertumbuhan yang terhad dan pemangkin peningkatan, diimbangi oleh keuntungan yang stabil dan lembaran imbangan dengan penilaian yang tidak terlalu tinggi.

"Pemain berskala kecil menawarkan nilai yang baik tetapi pemain bersepadu dan pelbagai yang lebih besar mungkin berupaya berdepan dengan harga minyak sawit yang rendah," katanya.

Pilihan utama Kenanga adalah Kuala Lumpur Kepong Bhd dengan harga sasaran (TP) RM24.00 sesaham berikutan pengeluaran tandan buah segar yang lebih baik dan pendapatan daripada hartanah; PPB Group Bhd (TP: RM12.50 sesaham) berikutan pemulihan pendapatan ketika penilaian yang rendah; serta TSH Resources Bhd (TP: RM1.55 sesaham) yang disokong oleh pertumbuhan organik dalam segmen huluan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan