WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRK KINABATANGAN, LAMAG: BN SABAH HARGAI SOKONGAN GRS - JAFRY

19/01/2026 10:49 AM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KINABATANGAN, 19 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Sabah menghargai komitmen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam membantu memastikan kemenangan kedua-dua calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Pengerusi BN Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata sokongan itu dizahirkan menerusi arahan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor kepada pimpinan tertinggi gabungan berkenaan untuk menggerakkan jentera berkempen di DUN Lamag, Kuamut dan Sukau.

Beliau berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen dan persefahaman bersama dalam menjamin kestabilan politik serta menghormati prinsip incumbency atau penyandang jawatan dalam kedua-dua PRK.

“Saya amat berterima kasih kepada Datuk Seri Hajiji… pandangan saya secara peribadi, politik itu dinamik... tidak ada yang rigid, sentiasa berubah-ubah berdasarkan masa dan suasana... jadi rasanya dinamika pada hari ini menghendaki kita secara terbuka ketepikan ego, ketepikan perasaan dendam dan sebagainya,” katanya kepada Bernama.

Jafry berkata untuk itu, satu mesyuarat membabitkan GRS, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan BN akan berlangsung hari ini di Kota Kinabalu bagi memperhebatkan lagi gerak kerja kempen menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Beliau turut menasihati calon dan jentera BN supaya terus bekerja keras sehingga tamat tempoh berkempen pada 11.59 malam 23 Jan ini walaupun menerima sokongan padu daripada parti rakan komponen yang membentuk Kerajaan Perpaduan Sabah.

“Saya mengharapkan agar kita semua dapat bersatu dan memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan calon-calon Barisan Nasional dapat kita menangkan.

“Saya difahamkan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam akan turun membantu di Lamag, dan saya secara berterus terang memang memerlukan bantuan daripada rakan-rakan komponen yang saya lihat memberikan respons positif,” katanya.

Mengulas naratif pihak lawan yang membangkitkan isu parti lokal dalam kempen PRK ini, Jafry menyifatkan ia sebagai retorik politik semata-mata dan menegaskan bahawa ia tiada perbezaan.

Beliau berkata sebagai parti yang bersama-sama membentuk kerajaan negeri, BN melaksanakan tanggungjawab membantu GRS dan hak rakyat Sabah tidak terjejas walaupun BN merupakan parti nasional.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon BN Mohd Kurniawan Naim Moktar, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).

Sementara itu, PRK DUN Lamag menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dengan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Kedua-dua PRK diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Dis tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai undi awal manakala Sabtu ini sebagai hari pengundian.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan