WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM TUMPU DAKWAAN PENGUBAHAN WANG HARAM RM2.5 BILION BABITKAN IJM

19/01/2026 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang menumpukan perhatian terhadap dakwaan membabitkan IJM Corporation Bhd berhubung dakwaan skim pengubahan wang haram berjumlah RM2.5 bilion.

Sumber dalaman suruhanjaya itu memaklumkan bahawa seorang anggota pengurusan tertinggi syarikat yang bergelar Tan Sri serta seorang penasihat syarikat telah dikenal pasti sebagai individu berkepentingan.

“Pasukan penyiasat kini sedang mengumpul maklumat lanjut berkaitan dakwaan berkenaan sebelum satu siasatan rasmi dibuka,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, Pejabat Penipuan Serius United Kingdom (SFO) (Serious Fraud Office) dilapor melancarkan siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan transaksi pelaburan bernilai berbilion ringgit yang dikaitkan dengan dua eksekutif berkenaan.

Difahamkan, kedua-dua individu terbabit kini berada di luar negara.

Sumber turut memaklumkan bahawa SPRM juga sedang meneliti dakwaan manipulasi harga saham.

Ia dipercayai berlaku ketika Sunway Group sedang berusaha untuk mengambil alih IJM menerusi satu urus niaga bernilai RM11 bilion.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa cadangan penggabungan antara kedua-dua syarikat itu dijangka mengubah landskap sektor hartanah dan pembinaan Malaysia, sekali gus berpotensi mendorong pemaju dan kontraktor untuk meningkatkan strategi dan daya saing.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan satu siasatan sedang dijalankan ke atas IJM dan maklumat lanjut akan diberikan dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan