SEPANG, 19 Jan (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri sentiasa mengutamakan perkhidmatan yang cekap, mesra dan lancar di kaunter imigresen, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata hal ini kerana pengalaman awal pelawat asing ketika melepasi kaunter imigresen memberi gambaran menyeluruh terhadap imej negara, sekali gus mencerminkan tahap profesionalisme perkhidmatan awam Malaysia.
Beliau berkata aspek itu menjadi perhatian utama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), termasuk peranan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban dalam memastikan urusan di pintu masuk negara berjalan lancar.
“Zakaria sebagai Ketua Pengarah Imigresen memainkan peranan penting kerana apabila seseorang tiba di negara ini, pengalaman mereka di kaunter imigresen sangat signifikan.
“Jika pengalaman tidak baik, maka ia memberi gambaran yang tidak cantik kepada negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Cawangan Baharu Oriental Kopi di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Pengerusi Oriental Kopi Holdings Bhd Tengku Datuk Dr Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj.
Saifuddin Nasution turut berkongsi maklum balas yang diterimanya daripada pelawat asing yang melalui proses kemasukan ke Malaysia baru-baru ini.
“Semalam saya bertanya kepada beliau (pelawat asing) bagaimana pengalaman melepasi kaunter imigresen dan beliau memaklumkan ia sangat baik serta sangat lancar. Saya senang mendengar maklum balas seperti itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial