WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OPERASI SAR DIBAHAGI KEPADA 9 UNIT, CARI TAPAK NAHAS ATR 42-500

20/01/2026 06:27 PM

MAKASSAR (Sulawesi Selatan), Jan 20 (Bernama-ANTARA) -- Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) gabungan bagi insiden pesawat ATR 42-500 terhempas dibahagikan kepada sembilan pasukan Unit Mencari dan Menyelamat (SRU) pada hari keempat operasi di Pergunungan Bulusaraung, Daerah Pangkep, Sulawesi Selatan, lapor Agensi Berita ANTARA.

“Pada hari ini, pasukan SAR gabungan meneruskan pencarian di kawasan tempat barangan mangsa dan serpihan pesawat ditemukan sebelum ini. Pencarian dijalankan mengikut pelan operasi,” kata Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat (Basarnas) Makassar, Muhammad Arif Anwar, pada Selasa.

Menurut beliau sembilan pasukan SRU menumpukan pencarian pada kawasan yang dipetakan berdasarkan koordinat barangan mangsa serta bahagian badan pesawat yang ditemukan selepas pesawat itu terhempas di kawasan pergunungan tersebut.

Selain itu, pasukan turut mencari di kawasan tebing curam Gunung Bulusaraung, yang dianggarkan ratusan meter di bawah puncak.

“SRU 1 hingga SRU 5 menjalankan pencarian di beberapa lokasi yang merupakan titik penemuan awal, termasuk lokasi penemuan mangsa pertama serta kawasan yang menemukan serpihan pesawat dan tingkap, enjin pertama dan tangga tempat duduk,” jelas Anwar.

“Mereka juga mencari lokasi mangsa kedua dan barangan peribadi, serta kawasan sayap dan enjin pesawat kedua berhampiran air terjun,” katanya.

Sementara itu, SRU 6 menjalankan pemeriksaan lanjut pada bahagian ekor pesawat yang berada pada anggaran kedalaman 200 meter. Bagi kerja-kerja membawa keluar mangsa, SRU 7 mengangkut mangsa ke kawasan sawah Kampung Baru, manakala SRU 8 mengawal laluan evakuasi.

Dalam operasi udara, SRU 9 menjalankan pencarian menggunakan helikopter dari Pangkalan Tentera Udara Hasanuddin ke Pergunungan Bulusaraung, meliputi semua kawasan pencarian serta membantu dalam pemetaan lokasi untuk pasukan darat.

“Semua SRU beroperasi berdasarkan data koordinat dan penemuan di lapangan. Keadaan muka bumi yang curam dan cuaca ekstrem masih menjadi cabaran, namun operasi diteruskan dengan keutamaan kepada keselamatan anggota,” tegas Anwar.

Operasi SAR melibatkan anggota dari Basarnas, Tentera Nasional Indonesia (TNI), Polis Negara, kerajaan tempatan, Agensi Mitigasi Bencana Wilayah (BPBD) serta anggota SAR lain.

Pesawat ATR 42-500 milik Indonesia Air Transport (IAT) dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Bulusaraung, Sulawesi Selatan, ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin pada Sabtu (17 Jan).

Pesawat itu membawa 10 orang, termasuk tujuh kru dan tiga penumpang dari Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan (KKP): Ferry Irawan, Deden Mulyana dan Yoga Naufal.

Tujuh kru tersebut ialah juruterbang Kapten Andi Dahananto, pembantu juruterbang Muhammad Farhan Gunawan, serta kru penerbangan Hariadi, Restu Adi, Dwi Murdiono, Florencia Lolita dan Esther Aprilita.

Pasukan telah menemukan beberapa serpihan pesawat serta dua mayat mangsa, namun identiti mereka belum didedahkan.

-- BERNAMA-ANTARA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan