WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPDN TAHAN SEORANG LELAKI, SITA LEBIH 12,000 LITER DIESEL DI SUNGAI PETANI

21/01/2026 12:16 PM

SUNGAI PETANI, 21 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menahan seorang lelaki berusia 20-an dan menyita sebanyak 12,100 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM34,364 yang disyaki cuba diseleweng dalam serbuan di dua lokasi di sini, Isnin lepas.

Pengarahnya Muhammad Nizam Jamaludin berkata serbuan itu, yang turut disertai pegawai Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, dilakukan sekitar 2 petang hasil maklumat awam dan risikan oleh KPDN Kedah.

“Serbuan pertama dijalankan ke atas sebuah lori yang sedang mengisi minyak di sebuah stesen minyak di sini. Pemeriksaan lanjut ke atas lori tersebut menemukan sejumlah minyak diesel di dalam dua tangki IBC.

“Susulan daripada itu, KPDN Kedah kemudian membuat serbuan ke atas sebuah stor yang disyaki menjadi tempat pengumpulan dan penyimpanan minyak diesel di Kampung Permatang Gedong di sini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut menyita sebuah lori, dua tangki IBC dan peralatan berkaitan untuk siasatan lanjut, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM111,500.

Muhammad Nizam berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan mengingatkan mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bahawa tindakan tegas akan diambil, selain mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan terutama yang bersubsidi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan