WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KASTAM PULAU PINANG RAMPAS ROKOK, MINUMAN KERAS BERNILAI LEBIH RM21 JUTA

21/01/2026 04:43 PM

BUTTERWORTH, 21 Jan (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas rokok dan minuman keras dianggar bernilai RM21.88 juta termasuk cukai susulan pemeriksaan ke atas tiga buah kontena di beberapa lokasi di Seberang Perai, 19 Dis lepas.

Pengarah JKDM negeri Datuk Rohaizad Ali berkata dalam operasi hasil maklumat dan intipan itu, pihaknya turut menahan tiga pemandu lori warga tempatan berusia lingkungan 40 hingga 50-an bagi membantu siasatan, selain menyita ketiga-tiga kontena bersama lori yang digunakan.

“Kontena pertama ditahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap dan hasil pemeriksaan menemukan 73,200 tin minuman keras jenis bir bernilai RM631,075.50 termasuk duti kastam.

“Pemeriksaan ke atas kontena kedua dan ketiga di sebuah gudang masing-masing di Sungai Jawi dan Perai pula menemukan lebih 20 juta batang rokok pelbagai jenama dianggar bernilai lebih RM21.24 juta termasuk duti kastam,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Kastam Perai di sini hari ini.

Rohaizad berkata siasatan awal mendapati semua kontena berkenaan tiba di Pelabuhan Butterworth Utara (NBCT) dari Singapura dan gagal membuat pengisytiharan terhadap barangan yang dibawa.

“Kesemua rokok dan minuman keras itu dipercayai untuk pasaran tempatan namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Beliau berkata rokok dan minuman keras itu diklasifikasikan sebagai barangan larangan import dan individu terlibat sedang dikenal pasti termasuk kemungkinan wujud penglibatan orang dalam.

Rohaizad berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan