WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RUNDINGAN SEMPADAN MARITIM MALAYSIA-SINGAPURA BERASASKAN UNCLOS 1982 - MOHAMAD

22/01/2026 01:16 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Malaysia dan Singapura kini giat meneruskan rundingan persempadanan maritim yang melibatkan beberapa kawasan perairan, dengan setiap keputusan dibuat berasaskan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata rundingan itu sedang berjalan dan diurus dengan baik termasuk sesi perbincangan terbaharu yang berlangsung semalam antara Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim dan pihak Singapura.

Beliau menjelaskan rundingan tersebut tidak tertumpu kepada satu kawasan sahaja, sebaliknya membabitkan beberapa zon sempadan maritim antara kedua-dua negara yang memerlukan penelitian menyeluruh.

“Rundingan ini bukan satu saja, ia melibatkan banyak kawasan sempadan maritim antara kedua-dua negara. Jadi kita mahu memastikan ia diurus dengan baik,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berhubung status terkini rundingan berkaitan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, yang menurutnya melibatkan soal kedaulatan, maruah negara dan amanah rakyat.

Mohamad berkata sebarang keputusan berkaitan sempadan maritim Malaysia-Singapura akan diputuskan mengikut kerangka undang-undang antarabangsa.

Beliau menegaskan Malaysia menjadikan UNCLOS 1982 sebagai asas utama dalam proses rundingan, kekal berpegang kepada prinsip perundangan, dan menekankan kepentingan mempertahankan kedaulatan serta hak negara.

Mengenai kedudukan keselamatan di perairan Batu Puteh, Mohamad berkata isu itu ditadbir berdasarkan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008, dan dibincangkan menerusi platform tahunan pemimpin Malaysia dan Singapura.

“Berkenaan Batu Puteh, kita tertakluk kepada keputusan atau penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008… itu sebabnya kedua-dua negara mengadakan pertemuan tahunan pemimpin untuk berunding secara bersama mengenai cara menyelesaikan sempadan maritim antara Malaysia dan Singapura,” katanya.

Beliau berkata rundingan itu bertujuan memastikan hak kedaulatan negara tidak tergugat serta berlangsung dalam suasana baik antara kedua-dua pihak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan