WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BANK MUAMALAT UMUM PEMENANG SAVE2WIN 2025, LANCAR KEMPEN 2026 DENGAN TAWARAN JONGKONG EMAS 1KG

23/01/2026 06:24 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) hari ini mengumumkan dua pemenang utama Kempen Save2Win 2025 serta melancarkan Kempen Save2Win 2026 yang menawarkan hadiah utama dua jongkong emas seberat satu kilogram setiap satu, sebagai usaha berterusan menggalakkan amalan simpanan mampan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bank Muamalat dalam kenyataan memaklumkan Kempen Save2Win 2025 mencatat kejayaan memberangsangkan dengan penyertaan lebih 75,000 penyimpan dan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM3.5 juta, termasuk dua kondominium mewah sebagai hadiah utama yang ditentukan menerusi cabutan secara langsung semalam.

Dua penyimpan bertuah yang diumumkan sebagai pemenang utama kempen itu ialah Kamruzaman Mat Sham dari Cawangan Kuantan dan Rosmala Zainal dari Cawangan Jalan Melaka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Khairul Kamarudin berkata pencapaian kempen berkenaan mencerminkan tahap kepercayaan pelanggan yang kukuh terhadap produk simpanan patuh syariah bank itu, selain membuktikan keberkesanan pendekatan ganjaran berasaskan disiplin kewangan.

“Save2Win 2025 bukan sekadar kempen ganjaran, sebaliknya satu inisiatif strategik untuk membudayakan amalan menabung secara konsisten dan berhemah. Kami mahu pelanggan melihat simpanan sebagai asas kestabilan kewangan jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata kejayaan kempen itu turut mengukuhkan aspirasi Bank Muamalat untuk terus berperanan sebagai rakan kewangan yang dipercayai, selari dengan nilai teras ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ yang menjadi tunjang setiap inisiatif bank berkenaan.

Seiring itu, Bank Muamalat melancarkan Kempen Save2Win 2026 yang akan berlangsung dari 1 Feb hingga 31 Dis 2026, dengan tawaran hadiah keseluruhan bernilai hampir RM3 juta melibatkan sebanyak 5,638 pemenang.

Khairul berkata kempen terbaharu itu memberi peluang kepada lebih ramai penyimpan menikmati ganjaran bermakna, termasuk dua pemenang utama yang bakal membawa pulang jongkong emas seberat satu kilogram setiap satu.

“Setiap simpanan bukan sahaja memberi nilai kepada masa depan kewangan pelanggan, malah membuka peluang kemenangan yang lumayan. Kempen ini juga mencerminkan komitmen Bank Muamalat dalam memupuk budaya menabung dan perancangan kewangan yang lebih berstruktur,” katanya.

Beliau berkata melalui pendekatan inklusif dan berterusan, kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengurusan kewangan yang berdisiplin, sekali gus membantu pelanggan membina daya tahan kewangan bagi menghadapi keperluan jangka panjang dan ketidaktentuan ekonomi.

Kempen Save2Win 2026 terbuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada Bank Muamalat melalui produk simpanan patuh syariah yang direka bagi menyokong perancangan kewangan yang lebih berhemah dan bertanggungjawab.

Maklumat lanjut Kempen Save2Win 2026 dan produk Bank Muamalat boleh didapati menerusi www.muamalat.com.my atau di mana-mana cawangan Bank Muamalat berhampiran.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan