WILAYAH - TENGAH > BERITA

BANGLO JADI STOR DADAH BERNILAI LEBIH RM37 JUTA

23/01/2026 07:19 PM

IPOH, 23 Jan (Bernama) -- Taktik sindiket menyewa banglo di kawasan elit di sini untuk dijadikan stor penyimpanan dadah terbongkar dengan penahanan dua individu termasuk seorang wanita dalam serbuan melibatkan rampasan dadah bernilai RM37.3 juta, Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata suspek berusia dalam lingkungan awal 30-an dan tidak bekerja itu ditahan dalam operasi melibatkan JSJN Bukit Aman dan kontinjen Perak.

Beliau berkata pemeriksaan menemukan methamphetamine seberat 843.33 kilogram (kg) serta cecair dan serbuk disyaki bahan kimia dengan anggaran berat 679.22 kg termasuk pelbagai peralatan memproses dadah.

“Pemeriksaan lanjut di sekitar kawasan tempat letak kereta di banglo itu turut menemukan sebanyak 618.24 kg bahan yang telah diproses menjadi ketulan simen.

"Analisis yang dibuat mendapati bahan itu mengandungi dadah jenis MDMA (methylenedioxymethamphetamine),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Hussein berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak Disember 2024 dan didalangi warga asing. 

Beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati dua suspek itu positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Suspek kini direman sehingga 29 Jan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“JSJN sedang mengesan seorang lelaki China dengan kerjasama pihak rakan sejawat. Kita percaya suspek telah keluar masuk Malaysia sebanyak lima kali dengan kali terakhir pada Ogos tahun lepas.

“Semakan dengan pihak Narcotics Bureau Hong Kong mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan kesalahan memiliki dadah di Hong Kong dan pihak berkenaan masih dalam proses mengesan suspek,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan