WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SITI ZAIDAH HADIAH PINGAT KE-100 MALAYSIA DI APG THAILAND 2025

23/01/2026 10:57 PM

Daripada Farah Najihah Zuraimi

NAKHON RATCHASIMA (Thailand), 23 Jan (Bernama) -- Dari detik penuh kebimbangan hingga tercipta sejarah, itulah perjalanan pemenang pingat emas lontar peluru wanita F41, Siti Zaidah Mokhtar yang menghadiahkan pingat ke-100 kepada kontinjen Malaysia pada Sukan Para ASEAN (APG) Thailand 2025, hari ini. 

Atlet berusia 38 tahun itu berdepan detik cemas semalam apabila menyedari namanya tidak tersenarai dalam acara berkenaan.

Beliau segera memaklumkan perkara itu kepada jurulatih sebelum delegasi Malaysia bertindak pantas dan hanya dua jam sebelum pertandingan bermula, namanya berjaya dimasukkan secara rasmi.

Peluang terakhir itu dimanfaatkan sepenuhnya apabila Siti Zaidah mencatat lontaran sejauh 5.18 meter (m) untuk menghadiahkan emas yang amat bermakna buat negara, sekali gus menutup episod penuh tekanan dengan detik kemuncak yang manis. 

Kejayaan Malaysia dalam acara itu turut diperkukuh dengan pingat perak oleh Mazzdiana Nuratasya Abd Rahim hasil lontaran sejauh 4.91m. 

Sementara itu, walaupun tenpin boling menjadi satu-satunya acara yang berlangsung di Bangkok, skuad negara terus menyerlah apabila menyumbang pingat penting bagi memperkukuh kedudukan keseluruhan Malaysia.

Dalam acara perseorangan lelaki TPB9, Mohd Azrin Rahim muncul juara dengan kutipan 1,230 mata, manakala Marcos Hao membawa pulang perak dengan 1,198 mata.

Bagi perseorangan wanita TPB9 pula, Ruzila Mustafa menghadiahkan pingat perak menerusi catatan 795 mata, manakala Julietati Abd Jalil melengkapkan podium dengan gangsa selepas mengumpul 775 mata.

Setakat ini, skuad tenpin boling negara telah menyumbang tiga pingat emas kepada kutipan keseluruhan Malaysia, sekali gus membuktikan keupayaan kontinjen negara untuk terus bersaing di tahap tinggi walaupun berdepan cabaran lokasi dan jadual pertandingan yang padat.

Ketika ini, Malaysia kekal di kedudukan ketiga carta pingat dengan 109 pingat keseluruhan, merangkumi 33 pingat emas, 34 pingat perak dan 42 gangsa. 

Kontinjen negara menyasarkan 181 pingat keseluruhan, termasuk 55 emas pada APG Thailand 2025 dengan setiap sumbangan pingat dianggap penting bagi merealisasikan sasaran itu.

Berbaki hanya dua hari sebelum semua pertandingan berakhir pada Ahad ini manaka Isnin (26 Jan) dikhaskan sebagai hari penutup temasya, cabaran dijangka semakin sengit dan menuntut tumpuan penuh daripada seluruh atlet negara.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan